Bekalan air di 472 kawasan di Selangor pulih sepenuhnya

Bekalan air di 472 kawasan di Selangor pulih sepenuhnya

BEKALAN air bagi 472 kawasan di lima wilayah di Selangor yang terjejas susulan henti tugas Lori Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi sejak Sabtu lalu, kini pulih sepenuhnya.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan, bekalan air berkenaan pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah malam tadi.

“Air Selangor ingin memaklumkan bahawa bekalan air bagi 472 kawasan di lima wilayah Air Selangor yang terjejas berikutan henti tugas sementara LRA Sg Semenyih dan LRA Bukit Tampoi yang disebabkan oleh insiden pencemaran bau di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir telah pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah malam tadi.

“Air Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” menurut kenyataan itu.

Sabtu lalu, sebanyak 472 kawasan di Selangor mengalami gangguan bekalan air susulan henti tugas sementara LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi akibat tumpahan pati minyak wangi daripada kemalangan lori membawa muatan itu di Lebuh Raya Elite berdekatan Bandar Serenia di Negeri Sembilan.

Kawasan-kawasan yang terjejas sebelum ini adalah Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (196 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (27 kawasan). – Malaysiapost

Komen