Enggan serah tampuk kepada Zuraida, Larry Sng digesa segera bertaubat

Enggan serah tampuk kepada Zuraida, Larry Sng digesa segera bertaubat

PARTI Bangsa Malaysia (PBM) kini dilihat sebagai sebuah parti yang kucar-kacir disebabkan sikap tidak jujur Presidennya, Datuk Larry Sng.

Akibatnya, bekas Timbalan Pengerusi PBM Selangor, Datuk Roger Tan Seng Huat berkata segala perancangan yang telah dibuat oleh parti itu kini juga tergendala.

Menurut beliau, pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) PBM pada 1 Oktober lalu, pemimpin parti itu termasuk Larry bersetuju untuk mengangkat Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Presiden.

Malah, katanya, perkara itu telah dimaklumkan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) secara rasmi.

“Namun, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Larry telah memungkiri janji dan menuntut bahawa beliau masih lagi Presiden sedangkan semua tugas Presiden parti telah dilaksanakan oleh Zuraida.

“Larry langsung tidak terlibat dengan apa jua gerak kerja parti termasuk segala program kebajikan yang banyak dilaksanakan oleh PBM sejak Disember 2021 lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pergolakan PBM bermula apabila Larry dikatakan enggan menyerahkan tampuk kepimpinan parti kepada Zuraida yang dilantik sebagai Presiden.

Kelmarin, Zuraida menyelar Larry yang bersikap tidak matang, angkuh, dan gagal berfikir rasional dalam menguruskan parti.

Zuraida yang digantung keahlian pada Oktober lalu turut mendakwa majoriti akar umbi tidak bersetuju dengan tindakan Larry kerana dilihat dangkal selepas sering mendedahkan hal kerahsiaan parti di media sosial.

Mengulas lanjut, Roger Tan berkata, ‘nasihat’ Larry supaya pemimpin lain dalam PBM bermuhasabah perlu dihalakan kepada dirinya sendiri yang khianat kepada parti dan tidak langsung mempunyai semangat setiakawan.

Menurutnya, tindakan Larry telah menunjukkan sifat buruk Ahli Parlimen Julau itu sendiri.

“Saya berharap mana-mana pihak yang sedang ‘dipujuk’ oleh beliau untuk bergabung sedar akan perkara ini supaya perkara yang sama tidak berlaku kepada organisasi politik mereka.

“Sifat parasitik seperti itu tidak wajar wujud dalam mana-mana individu, apatah lagi seseorang yang bergelar Ahli Parlimen.

“Semoga Larry segera bertaubat, sebelum karma membalas semula segala perbuatan beliau yang telah merosakkan sebuah organisasi yang ditubuhkan dengan niat yang mulia dan suci ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen