Kanak-kanak maut didera ada kesan pukul, dicucuh benda panas seluruh badan

Kanak-kanak maut didera ada kesan pukul, dicucuh benda panas seluruh badan

MENYAYAT hati apabila kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat didera oleh kakaknya disahkan mengalami kecederaan hampir di seluruh anggota badan termasuk dicucuh benda panas pada kemaluan.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata selain kesan melecur berkenaan terdapat juga kesan pukulan di bahagian belakang badan mangsa.

“Berita yang amat menyedihkan kerana seorang kanak-kanak berusia empat tahun telah meninggalkan dunia akibat daripada kecederaan yang teruk diseluruh badan dipercayai berpunca daripada penderaan.

“Berdasarkan kecederaan yang dialami adalah menyedihkan kerana hampir keseluruhan badan terdapat kesan kecederaan dari kepala hingga ke kaki.

“Terdapat kesan dipercayai dipukul di bahagian belakang mangsa dan dicucuh sama ada api atau benda panas di seluruh badan termasuk kemaluan mangsa,” katanya dalam sidang media selepas melihat keadaan mangsa di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, hari ini.

Menceritakan kronologi kejadian, beliau berkata mangsa adalah anak bongsu daripada 11 beradik dan pada awalnya dijaga datuk saudaranya selepas ibu bapa mangsa dipenjarakan akibat terbabit kes pengedaran dadah.

Beliau berkata penjagaan itu diserahkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun datuk saudara mangsa tidak tahan menjaganya kerana kanak-kanak itu kerap menangis susulan lahir pramatang dan menyerahkan semula kepada JKM.

“Untuk sementara mangsa dijaga JKK sebelum diserahkan semula kepada ibunya yang sejak lahir sehingga September lalu belum pernah menjaganya lagi.

“Namun wanita berkenaan ditahan dan dipenjara sekali lagi susulan kes dadah, manakala mangsa kemudian dijaga kakaknya yang berusia 19 tahun yang telah berkahwin,” katanya.

Menurutnya, mangsa dihantar ke hospital pada 23 Disember lalu oleh rakan kepada kakak mangsa selepas mendapati kanak-kanak terbabit tidak sedarkan diri.

“Pengadu adalah rakan kepada kakak mangsa yang melihat wanita berkenaan tidak mampu menjaga mangsa dan menawar diri untuk menjaganya.

“Namun kanak-kanak terbabit didapati sudah tidak sedar diri dan kemudian dihantar ke hospital sebelum dinasihatkan oleh pihak hospital untuk membuat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata, susulan kematian mangsa, kakak kanak-kanak terbabit yang juga anak perempuan sulung daripada 11 beradik berkenaan bersama suaminya yang berusia 37 tahun ditahan, selain tiga lagi rakan mereka termasuk pengadu.

“Ada positif dadah, suspek berusia 15 hingga 37 tahun direman sehingga 31 Disember ini.

“Polis akan buat siasatan yang teliti dan tidak akan lepaskan mereka yang terbabit untuk dihadapkan ke muka pengadilan. Bedah siasat sedang dijalankan bagi mengenalpasti punca sebenar kematian mangsa,” katanya.

Kamarul Zaman menyeru orang ramai yang mengetahui atau melihat kejadian dera membabitkan kanak-kanak agar segera melaporkannya kepada pihak polis.

“Mengapa perkara ini boleh berlaku dalam masyarakat kita…tidak adakah perasaan belas kasihan kepada anak-anak yang tidak berdosa ini.

“Nasihat saya jika ada perkara sebegini maklumkan terus kepada polis supaya dapat ambil tindakan segera jangan sampai anak dah tak bermaya baru buat laporan polis, ini sudah terlambat,” katanya. – Malaysiapost

Komen