Kerajaan perlu halang rakyat berbakat ‘dicuri’ – Kit Siang

Kerajaan perlu halang rakyat berbakat ‘dicuri’ – Kit Siang

MALAYSIA memerlukan program untuk mengurangkan migrasi rakyat berbakat sebagai sebahagian dari dasar untuk menjadi negara hebat semula, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

Beliau berkata, terdapat laporan media baru-baru ini yang mengatakan Malaysia kehilangan sekurang-kurangnya 30 orang graduan perubatan terbaik dari Universiti Malaya kepada Singapura, dan negara kita menanggung kos hampir RM1 juta seorang untuk melatih.

Menurutnya, terdapat juga laporan media mengatakan  Singapura mempunyai dasar untuk “merampas” bakat dari Sekolah Menengah Bebas Cina.

“Perkara ini bermakna kira-kira 300–400 orang pelajar setahun sejak dari tahun 2015 telah ke Singapura untuk meneruskan pengajian mereka dan kemudiannya kekal di negara tersebut dan membantu mengembangkan ekonomi republik berkenaan.

“Malaysia telah berhadapan dengan masalah kehilangan bakat sejak dari tahun 1970-an, seperti yang dapat dilihat dari komuniti diaspora Malaysia di seluruh dunia yang terdiri dari lebih sejuta rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang kaum dan agama,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk Malaysia mengiktiraf rakyat Malaysia yang berbakat, terutamanya dalam sektor sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM) sebagai salah satu sumber utama dalam ekonomi berasaskan pengetahuan yang memainkan peranan kritikal dalam pertumbuhan ekonomi dan inovasi teknologi di Malaysia.

“Malaysia memerlukan sebuah program untuk mengurangkan kehilangan bakat dari dalam negara dan juga satu dasar untuk menarik bakat-bakat untuk ke Malaysia.

“Perlu ada sebuah unit khas di Jabatan Perdana Menteri untuk mengatasi masalah ini, yang perlu merangka sebuah dasar agresif untuk mengubah situasi kita dari kehilangan bakat-bakat cemerlang kepada menjadi sebuah negara yang menarik bakat-bakat ini,” katanya.

Kit Siang menyarankan sebagai permulaan, kerajaan patut menyelesaikan aduan-aduan petugas kesihatan dan menghentikan masalah yang dihadapi oleh doktor kontrak.

“Malaysia tidak memerlukan doktor kontrak, sebaliknya mereka ini sepatutnya diserap ke dalam sistem kesihatan awam negara.

“Menteri Kesihatan yang baru perlu menjalankan penyiasatan menyeluruh mengapa Malaysia telah menunjukkan prestasi yang sebegitu buruk dalam berhadapan dengan pandemik Covid-19,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu berbeza dengan suatu kajian global pada tahun 2010 yang meletakkan negara dalam kalangan 20 negara yang terbaik di dunia.

“Kajian ini hendaklah dijadikan asas kepada rancangan kesihatan 30 tahun, dari 2023 hingga 2053 untuk memastikan Malaysia sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan pandemik global yang akan datang,” katanya. – Malaysiapost

Komen