KKM tingkat kesiapsiagaan susulan situasi semasa Covid-19 di China

KKM tingkat kesiapsiagaan susulan situasi semasa Covid-19 di China

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai situasi semasa perkembangan kejadian jangkitan Covid-19 di peringkat antarabangsa, khususnya melalui sidang media terkini oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 21 Disember lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata berdasarkan data Covid-19 semasa yang dilaporkan kepada WHO, tren kejadian pandemik ini telah berada dalam keadaan yang terkawal di kebanyakan negara seluruh dunia.

Menurutnya, WHO juga yakin bahawa kini situasi tersebut adalah lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Sungguhpun begitu, dalam sidang media yang sama, pihak WHO juga turut menyatakan kebimbangan mereka terhadap perkembangan semasa yang dilaporkan berlaku di negara China, yang melibatkan peningkatan mendadak kes Covid-19.

“Golongan pakar dan penyelidik di peringkat antarabangsa menjangkakan situasi ini akan berlaku susulan keputusan pihak berkuasa China sekitar awal Disember ini melaksanakan kelonggaran terhadap polisi pengurusan pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Malaysia telah diumumkan memasuki fasa peralihan ke endemik bermula pada 1 April lalu semasa negara masih lagi diwartakan sebagai kawasan tempatan jangkitan.

Menurutnya, dengan mengambilkira Malaysia mempunyai risiko kemasukan kes-kes Covid-19 dari luar negara, KKM terus mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respons bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes dan kematian Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata, antara langkah yang diambil adalah meningkatkan peratusan individu yang layak menerima vaksin dos penggalak bagi mengurangkan penularan jangkitan, jangkitan serius serta kematian.

“Mengukuhkan pengurusan Covid-19 melalui pendigitalan pengurusan kesihatan.

“Memastikan semua Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang beroperasi secara fizikal (iaitu di Klinik Kesihatan dan di komuniti) mahupun secara maya bersedia untuk menerima kedatangan/panggilan pesakit yang tinggi.

“Memperkenalkan penggunaan ubat antiviral Paxlovid® (nirmatrelvir/ritonavir) ke dalam Covid-19 Clinical Care Pathway sejak 15 April 2022 dalam kalangan pesakit yang menerima rawatan di Klinik Kesihatan, CAC dan hospital KKM,” katanya.

Beliau berkata, langkah lain adalah memantau rapi penularan jangkitan Covid-19 dalam masyarakat melalui pelaksanaan aktiviti survelan melibatkan lokasi sentinel influenza-like illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) di seluruh negara.

“Menggerakkan inisiatif Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) sejak awal tahun 2022 di semua peringkat. Inisiatif ini bertujuan untuk memperkasa kawalan kendiri kesihatan.

“ANMS turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan komuniti dalam membudaya hidup sihat,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, KKM menasihatkan masyarakat agar mengamalkan gaya hidup yang sihat dan selamat bagi menghindarkan diri dari bahaya jangkitan Covid-19 dan penyakit berjangkit yang lain.

“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO.

“KKM juga akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” katanya. – Malaysiapost

Komen