Komen berbaur perkauman yang tular adalah kes lama – PDRM

Komen berbaur perkauman yang tular adalah kes lama – PDRM

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan semula komen berbaur perkauman oleh seorang pengguna media sosial pada Ogos 2019.

Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata tangkap layar komen pengguna akaun Facebook ‘Nazrul Nazari’ kini dikesan tular semula sejak semalam.

“Komen provokasi tersebut telah dimuatnaik pada Ogos 2019 oleh pemilik akaun Facebook berkenaan.

“Ekoran daripada itu, seorang lelaki berusia 33 tahun telah ditangkap pada 1 April 2022 dan didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan iaitu memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lelaki terbabit juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menularkan semula komen berkenaan secara provokasi kerana perbuatan itu boleh menggugat ketenteraman serta keharmonian kaum di Malaysia.

“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mendatangkan khianat awam melalui isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum,” katanya.

Terdahulu tular tangkap layar komen pengguna Facebook berkenaan yang mahu peristiwa 13 Mei berulang dan tidak sabar untuk membunuh kaum lain di Malaysia. – Malaysiapost

Komen