Mangsa banjir di Kelantan menurun, Terengganu kekal 138 orang

Mangsa banjir di Kelantan menurun, Terengganu kekal 138 orang

MANGSA banjir di Kelantan terus menunjukkan penurunan apabila hanya seramai 718 orang direkodkan sehingga pukul 9 pagi ini berbanding 867 orang malam tadi.

Kesemua mangsa membabitkan 246 keluarga itu ditempatkan lima pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas dan Tumpat.

Menurut laman web infobencanajkmv2.jkm.gov.my, jumlah mangsa di Pasir Mas mencatatkan seramai 641 orang daripada 222 keluarga di lima PPS.

Mangsa di Tumpat pula merekodkan jumlah 77 orang daripada 24 keluarga di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 1.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Terengganu masih kekal seramai 138 orang daripada 41 keluarga yang ditempatkan di dua PPS setakat pukul 8 pagi ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Besut merupakan satu-satunya daerah yang masih terjejas di negeri itu.

Beliau berkata, Kuala Terengganu pula telah pulih sepenuhnya dengan PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Losong dibenarkan menutup operasi pada pukul 4 petang semalam.

“Seramai 126 mangsa daripada 38 keluarga masih ditempatkan di Masjid Kampung La, Besut.

“Satu lagi PPS di Besut iaitu Balai Raya Kampung Pantai pula masih mempunyai 12 mangsa daripada tiga keluarga,” katanya.

Sementara itu, keadaan cuaca di kebanyakan kawasan di negeri itu diramal baik sepanjang hari.

Bagaimanapun, penduduk tetap dinasihatkan agar berhati-hati kerana gelombang banjir yang seterusnya dijangka berlaku lagi awal Januari depan. – Malaysiapost

Komen