MTUC kecewa penangguhan gaji minimum, penganiayaan terhadap pekerja

MTUC kecewa penangguhan gaji minimum, penganiayaan terhadap pekerja

KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kecewa dengan keputusan kerajaan menangguhkan pelaksanaan gaji minimum majikan yang mempunyai kurang lima pekerja walaupun ia sepatutnya dilaksanakan hanya beberapa hari lagi.

MTUC menyifatkan tindakan itu tidak menghormati pekerja dalam membuat keputusan dasar selain dianggap satu penganiayaan terhadap golongan pekerja B40.

“Kami terkejut dan kesal dengan tindakan Kementerian Sumber Manusia kerana perkara itu tidak dibincangkan dengan MTUC.

“Ini menunjukan kerajaan tidak menghormati pekerja dalam membuat keputusan dasar golongan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar mengumumkan penangguhan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 bagi kategori majikan kurang daripada lima orang.

Pelaksanaan itu sepatutnya dikuatkuasakan pada 1 Januari 2023 tetapi ditangguhkan kepada 1 Julai 2023.

Sivakumar dipetik berkata, keputusan itu selepas mengambil kira pandangan pihak berkepentingan yang dijangka menghadapi cabaran ekonomi serta kewangan pada tahun hadapan.

Menurut kenyataan itu, kerajaan perlu melaksanakan gaji minimum RM1,500 dan sepatutnya memberikan subsidi upah kepada majikan yang ada masalah pelaksanaannya.

“Pekerja bawahan yang akan mendapat manfaat jika kerajaan melaksanakan subsidi upah kepada syarikat yang bermasalah melaksanakan gaji minimum.

“Reformasi prosedur pelaksanaan sesuatu dasar perlu disemak kerana perbincangan perlu dibuat melalui Mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) supaya kebajikan pekerja terjaga,” katanya.

MTUC berkata, kepimpinan kerajaan baharu perlu melakukan reformasi sikap dan prosedur kerja apabila membabitkan faedah pekerja bawahan kerana golongan itu sengsara dengan kenaikan kos barangan.

“Pelaksanaan yang sepatutnya berlaku lima hari lagi sungguh memilukan. Tiada kata-kata bagi MTUC untuk menggambarkan kekecewaan,” katanya.

Menurutnya, keputusan berkenaan telah merentap keyakinan mereka, sekali gus memberi kesan kepada pekerja bawahan. – Malaysiapost

Komen