Nama Anwar disoal dalam Who Wants to be a Millionaire? versi Hindi

Nama Anwar disoal dalam Who Wants to be a Millionaire? versi Hindi

POPULARITI Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak dilantik sebagai Perdana Menteri tidak dapat disangkal lagi, malah namanya sering menjadi sebutan sehingga di luar negara.

Terbaharu nama Perdana Menteri ke-10 itu dijadikan antara soalan kuiz untuk program popular, Who Wants to be a Millionaire? versi bahasa Hindi di India.

Menurut Utusan Malaysia, seorang warganet tempatan dengan nama Najib Bakar menerusi Facebook telah memuatnaikkan sedutan rancangan dihoskan pelakon popular antarabangsa, Amitabh Batchan.

“PMX Anwar jadi soalan dalam Who Wants to be a Millionaire? di India pula,” tulis Najib sambil memuatnaik klip berdurasi satu minit 35 saat tersebut.

Menerusi klip video itu, Amitabh Batchan bertanya soalan kepada peserta, Nipun Rajan, negara manakah memilih Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri pada 2022.

Amitabh Batchan memberikan empat pilihan jawapan iaitu A, Iraq; B, Bahrain; C, Malaysia dan D, Indonesia.

Nipun kemudian mudah menjawab soalan itu dan memenangi wang tunai terkumpul 640,000 rupee (kira-kira RM34,232).

Beliau bagaimanapun terkandas pada soalan ke-12 yang menawarkan 1,250,000 rupee (RM66,873) sekali gus gagal mara lima pusingan lagi untuk meraih 70 juta rupee (RM3.7 juta).

Pogram kuiz mingguan itu disiarkan pada 23 Disember lalu dan dapat ditonton melalui saluran berbayar Sony Entertainment Television beribu pejabat di Mumbai, India. – Malaysiapost

Komen