Pelaksanaan gaji minimum majikan kurang 5 pekerja ditangguh

Pelaksanaan gaji minimum majikan kurang 5 pekerja ditangguh

PELAKSANAAN gaji minimum RM1,500 bagi kategori majikan yang menggajikan pekerja kurang daripada lima orang yang sepatutnya dikuatkuasakan pada awal bulan depan ditangguhkan kepada 1 Julai 2023.

Perkara itu diumumkan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar selepas mengambil kira pandangan pihak berkepentingan yang dijangka menghadapi cabaran ekonomi serta kewangan pada tahun hadapan.

“Penangguhan tambahan selama enam bulan ini dapat memberikan peluang untuk menyelaras dan mengimbangi keperluan kewangan yang akan membantu memulihkan kedudukan ekonomi syarikat yang menggajikan kurang daripada lima pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Namun, katanya, majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih serta majikan menjalankan aktiviti profesional yang dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (Malaysia Standard Classification of Occupation, MASCO) masih perlu meneruskan pembayaran gaji minimum sebanyak RM1,500 bermula 1 Mei lalu.

“Justeru, majikan yang tidak terlibat dengan penangguhan ini hendaklah terus mematuhi pelaksanaan Perintah Gaji Minimum (PGM) dengan membayar gaji minimum RM1,500 sebulan kepada pekerja.

“Kerajaan berharap penangguhan ini diterima baik oleh semua pihak,” katanya.

Sivakumar menjelaskan, PGM 2022 telah berkuatkuasa mulai 1 Mei lalu dengan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan untuk semua sektor tanpa mengira wilayah bagi majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih.

Katanya, bagaimanapun bagi semua majikan yang menggajikan kurang daripada lima orang pekerja, telah diberi pengecualian dan pelaksanaan PGM 2022 sebanyak RM1,500 sebulan berkuatkuasa pada 1 Januari 2023. – Malaysiapost

Komen