Pengadil Jepun ‘bantu’ kemenangan Vietnam atasi Malaysia

Pengadil Jepun ‘bantu’ kemenangan Vietnam atasi Malaysia

CABARAN Malaysia dalam perlawanan ketiga menentang Vietnam pada Kejohanan Mitsubishi Electric AFF 2022 bagaikan direntap pada minit ke-60 perlawanan. 

Ketika anak buah Kim Pan Gon sedang berusaha mencari gol penyamaan, dalam keadaan tidak semena-mena Vietnam dihadiahkan sepakan penalti meskipun tiada insiden kekasaran berlaku dalam kawasan kotak penalti Malaysia. 

Keputusan pengadil dari Jepun, Ryuji Sato itu dibantah para pemain Harimau Malaya namun lain pula ceritanya selepas itu apabila pertahanan kanan Malaysia, Azam Azmi dilayangkan kad merah menyebabkan Malaysia terpaksa bermain 10 orang. 

Ulang tayang di televisyen menunjukkan berlaku sedikit pergelutan di luar padang antara Azam dengan pemain Vietnam setelah dia berjaya mengeluarkan bola dari kawasan bahaya kubu Malaysia. 

Sepakan penalti itu mudah disempurnakan Que Ngoc Hai menewaskan Syihan Azmi pada minit ke-64, menjadikan Malaysia ketinggalan 2-0.

Terdahulu, pada babak pertama Malaysia dapat mengimbangi kekuatan Vietnam dengan melancarkan beberapa serangan yang mengancam kubu lawan menerusi Mukhairi Ajmal dan Darren Loke. 

Namun gawang Malaysia bocor juga pada minit ke-29 menerusi sepakan sudut apabila Nguyen Tien Linh menanduk cantik yang sukar digapai Syihan Azmi.

Bagaimanapun kegembiraan penyokong tuan rumah di Stadium My Dinh, Hanoi tersentap apabila penyerang mereka Nguyen Van Toan dilayangkan kad merah setelah mengasari Dominic Tan pada minit ke-31.

Malaysia cuba mengambil kesempatan kekurangan ke atas lawan dengan melancarkan beberapa serangan namun dua peluang keemasan daripada Mukhairi berjaya diselamatkan penjaga gol Vietnam. 

Usaha Malaysia bangkit pada separuh masa kedua seolah-olah berkubur lebih awal berikutan keputusan kontroversi Ryuji. 

Pemain Malaysia bagaikan hilang pedoman selepas itu, mujurlah Syihan tangkas menyelamatkan beberapa siri serangan bahaya Vietnam. 

Bagaimanapun pintu gol Malaysia bocor juga untuk kali ketiga menerusi Nguyen Hoang Duc pada minit ke-83 dan kedudukan itu kekal sehingga ke wisel penamat perlawanan. -Malaysiapost

Komen