Penumpang ‘tersadai’, Malindo Air akan mohon maaf – Anthony Loke

Penumpang ‘tersadai’, Malindo Air akan mohon maaf – Anthony Loke

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Foke telah mengarahkan syarikat penerbangan Malindo Air memohon maaf kepada penumpang yang ‘tersadai’ di lapangan terbang baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, pengurusan syarikat terbabit akan bertanggungjawab dan menghubungi semua penumpang yang terjejas.

Anthony Loke memberi maklum balas tersebut menerusi ciapan di Twitternya, susulan aduan seorang pengguna Twitter, Mohd Firdaus Jailan yang juga merupakan penumpang yang terkesan dalam kejadian itu.

“Salam saudara Firdaus, saya dah hubungi pengurusan @malindoair. Mereka akan hubungi semua penumpang yang terjejas untuk memohon maaf dan mengambil tanggungjawab,” katanya.

Jumaat lalu, Firdaus meminta Anthony Loke melakukan tindakan segera mengenai pengurusan Malindo Air yang didakwa tidak menjaga kebajikan penumpang apabila pesawat yang dijadualkan untuk mereka tergendala lebih 8 jam.

Video rungutan individu itu juga tular di media sosial menyebabkan orang ramai turut menggesa kerajaan memberi perhatian mengenai perkara itu. – Malaysiapost

Komen