Perpaduan wajib walau tak dijenamakan dengan Islam

Perpaduan wajib walau tak dijenamakan dengan Islam

PERPADUAN antara manusia dalam sebuah negara meskipun berbeza agama dan bangsa itu adalah satu perkara yang wajib dilakukan oleh pemerintah dalam Islam. Ia tidak perlu dijenamakan sebagai Islam kerana perpaduan itu sendiri adalah perintah Islam.

Oleh kerana itu Islam mengarahkan setiap individu muslim memberi ketaatan dan walak kepada pemerintah semasa. Semuanya demi menjaga perpaduan rakyat. Hatta Nabi saw mengarahkan dibunuh Khalifah yang diberi baiah ketaatan setelah diberi baiah ketaatan kepada Khalifah yang awal. Itu semua demi menjaga perpaduan rakyat.

Nabi saw bersabda
إذا بُويِعَ لِخَلِيفَتَيْنِ، فاقْتُلُوا الآخِرَ منهما
“Apabila diberi baiah ketaatan kepada dua Khalifah maka bunuhlah Khalifah terkemudian daripada mereka berdua”
(Hadis Muslim)

Kewujudan dua pemerintah atau dua khalifah dalam sebuah negara memecah-belakan masyarakat Islam dan meletakkan negara dalam bahaya. Oleh itu, datang perintah yang keras daripada Nabi saw iaitu mesti dibunuh Khalifah kedua.

Hatta sekiranya pemerintah muslim itu fasik sekalipun masih perlu diberikan ketaatan dan walak pada perkara makruf dan dicegah kemungkaran pada perkara mungkar dengan lidah bukan dengan senjata. Semuanya demi menjamin perpaduan rakyat.

Nabi saw bersabda dalam Hadis Muslim
سَتَكُونُ أُمَراءُ فَتَعْرِفُونَ وتُنْكِرُونَ، فمَن عَرَفَ بَرِئَ، ومَن أنْكَرَ سَلِمَ، ولَكِنْ مَن رَضِيَ وتابَعَ قالوا: أفَلا نُقاتِلُهُمْ؟ قالَ: لا، ما صَلَّوْا.
“Akan dilantik pemerintah-pemerintah lalu kamu suruh mereka membuat makruf dan larang mereka membuat kemungkaran. Sesiapa yang membenci kemungkaran (dalam hati) dia terlepas. Sesiapa yang mengengkari dia selamat. Tetapi yang redha (dengan hati) dan menurut (dia tidak terlepas dan selamat).
Sahabat bertanya : tidak bolehkah kita memerangi mereka (dengan senjata)?
Jawab Nabi saw: Tak boleh selagi mana mereka solat”.

Menentang pemerintah dengan senjata adalah jenayah besar termasuk dalam kategori jenayah Hudud dalam Islam yang perlu dijatuhkan hukuman bunuh.

Perpecahan dalam masyarakat berlaku kerana memberi makna yang salah terhadap konsep Amar Amaf Nahi Mungkar. Atas konsep ini kerajaan dan pemerintah semasa diserang dengan keras hingga membangkitkan sentimen kebencian di kalangan rakyat lalu mereka berpecah atas nama penyokong kerajaan dan penyokong pembangkang. Sedang sepatutnya Amar Makruf Nahi mungkar itu atas isu-isu tertentu sahaja yang bercanggah dengan Islam dan bukan dalam semua keadaan.

Perpecahan kalangan rakyat juga berlaku apabila “baiah” akujanji ketaatan setiap individu rakyat yang sepatut diberikan kepada pemerintah semasa dipindahkan kepada pemimpin parti lalu ia melahirkan taksub terhadap semua arahan kepimpinan parti atas nama perintah agama untuk taat kepada “jamaah”. Di sinilah berlaku perpecahan rakyat.

Sedangkan makna sebenar “jemaah” ialah masyarakat besar umat Islam yang dipimpin oleh pemerintah semasa dalam sebuah negara. Jemaah Muslimin inilah yang dimestikan setiap muslim bersama dengannya dan tidak berpisah daripadanya dengan maksud tidak memeranginya.

Nabi saw
من فارق الجماعةَ قَيْدَ شِبرٍ فقد خلع رِبقةَ الإسلامِ من عُنُقِهِ
“Sesiapa yang berpisah dengan “jamaah” kadar sejengkal maka dia telah menanggalkan ikatan Islam ditengkuknya”
(Hadis Sahih Abu Dawud)

Hadis ini merujuk kepada “jemaah” masyarakat Islam dalam sebuah negara yang dipimpin oleh seorang pemerintah. Inilah “jamaah muslimin” yang dimaksudkan oleh puluhan hadis tentang makna “jamaah”. Setiap individu rakyat perlu bersama dengan “jamaah muslimin” ini demi menjaga perpaduan rakyat. Tugasan amar makruf nahi mungkar dilaksanakan dalam konteks berjamaah dalam jamaah besar umat Islam ini.

Namun apabila perkataan “jemaah” dalam Hadis diberikan tafsiran yang salah dan mengelirukan dengan merujuk kepada jamaah dan kelompok parti tertentu sahaja maka di sinilah punca kepada perpecahan. Walak kepada jemaah umat Islam dipindahkan kepada jemaah kecil sedang jemaah kecil itu hanya satu jemaah daripada jemaah besar umat Islam.

Bayangkan begitu besar sekali perpaduan dalam Jemaah Muslimin dan masyarakat besar umat Islam perlu dipelihara sehingga Nabi saw mengaitkannya dengan tertanggal ikatan Islam. Ia tidak merujuk kepada jemaah-jemaah kecil yang dibentuk oleh umat Islam untuk kerja-kerja kebajikan, dakwah dan amar makrif nahi mungkar. Itu hanya satu jemaah atau satu kelompok daripada Jemaah Muslimin yang besar dipimpin oleh seorang pemerintah Islam dalam sebuah negara.

Malah sekiranya pembentukan jemaah kecil ini menjadi sebab perpecahan umat Islam maka penubuhan jemaah sebegini perlu dinilai semula dan dibetulkan hala tuju agar kembali kepada tujuan asal penubuhan kumpulan dakwah iaitu menyatukan umat dan melaksanakan kerja dakwah.

Marilah kita bersatu dalam jemaah besar umat Islam dipimpin oleh seorang pemimpin yang dilantik secara sah oleh rakyat. Itulah sebenar-benar “jemaah muslimin”. Setiap muslim berhak membentuk kelompok-kelompok kecil umat untuk bekerjasama melaksanakan Amar Makruf Nahi Mungkar namun jangan sampai memecahkan “jemaah muslimin” dipimpin oleh pemerintah yang dilantik secara sah kerana ia merosakkan asas bernegara. Laksanakan tugasan Amar Makruf Nahi Mungkar namun jangan sampai umat berpecah.
.
Dr Khairuddin Takiri
Penulis ialah bekas pemimpin PAS dan bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus
(Artikel ini dipetik dari Facebook penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

Komen