Puteri Sarah dakwa Syamsul, Ira kahwin di Thailand

ISU rumah tangga pengarah sensasi, Syamsul Yusof dan pelakon Puteri Sarah Liyana semakin panas apabila isterinya mendakwa Syamsul telah berkahwin di Thailand.

Menerusi hantaran dalam Instagram Story Puteri Sarah, Syamsul dan Ira Kazar didakwa telah berkahwin di Thailand tetapi tidak membuat pengakuan sebenar.

“Ramai tanya Sarah pasal berita perkahwinan Syamsul dan Ira ini. Ada juga yang tidak berpuas hati.

“Sebagai isteri, wajib taat kepada suami, tetapi suka ke tiba-tiba tahu berkahwin di Thailand? Selepas itu, tak mengaku?.

“Nak saman Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dah betul-betul pasti ke? Jangan terbalik pula jadinya, saya tanya sahaja.

“Nak sambung makan ‘popcorn’ di Disneyland, ‘popcorn’ di sini sedap,” katanya yang kini sedang bercuti di Tokyo, Jepun bersama anak-anaknya.

Media sebelum ini melaporkan Puteri Sarah memaklumkan, dia ada menerima mesej yang mengatakan Syamsul berkahwin dengan orang ketiga yang didakwa sebagai perosak rumah tangganya itu.

Pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu juga dikatakan bakal mengambil tindakan saman berjumlah RM10 juta terhadap Jawi, berikutan didakwa telah menyebar kenyataan tidak benar, fitnah dan palsu kepada keluarganya.

Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 5, dan Sumayyah, 3. – Malaysiapost

Komen