Tak jalani pembedahan, tarikh Siti Bainun bela diri kekal 5 Januari

Tak jalani pembedahan, tarikh Siti Bainun bela diri kekal 5 Januari

PERBICARAAN untuk Siti Bainun Ahd Razali membela diri atas pertuduhan mengabai dan remaja sindrom down yang bernama Bella kekal bermula 5 Januari depan seperti dijadualkan.

Peguam bela Siti Bainun, Nurul Hafidzah Hassan berkata, pengasas Rumah Bonda itu tidak mempunyai tarikh pembedahan selepas diberi sijil cuti sakit (MC) akibat masalah kesihatan sebelum ini.

“Tarikh prosiding itu terpaksa diteruskan sebab tiada tarikh pembedahan. Pembelaan bersedia untuk prosiding itu, namun tak tahu jika Siti Bainun sihat atau sebaliknya pada masa itu.

“Mengikut undang-undang, Siti Bainun kena hadir dalam prosiding bela diri. Dia yang akan memberi keterangan dahulu,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

Pada 9 Disember lalu, Mahkamah Sesyen menetapkan tarikh baharu perbicaraan bela diri terbabit selama 25 hari iaitu 5, 6, 16 hingga 20, 26 dan 27 Januari (sembilan hari) diikuti 20 hingga 24, 27 dan 28 Februari (tujuh hari) dan 6 hingga 10, 27 hingga 30 Mac (sembilan hari).

Terdahulu, Siti Bainun yang merupakan pengasas Rumah Bonda disahkan diberi MC selama 22 hari berakhir 19 Disember lalu akibat masalah kesihatan.

Siti Bainun dijangkiti bakteria yang memerlukan pengambilan antibiotik selama 15 hari sebelum menjalani pembedahan hempedu hasil prosedur perubatan diagnostik atau endoskopi dan ujian darah di hospital.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh perbicaraan untuk membela diri awal bulan ini dan lima saksi pembelaan akan dipanggil bagi memberi keterangan termasuk Siti Bainun.

Pada 24 November lalu, mahkamah mengarahkan Siti Bainun diarah membela diri terhadap pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari hingga Jun 2021.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Malaysiapost

Komen