Tidak seharusnya sekat pendakwah, AJK masjid – Muhyiddin

Tidak seharusnya sekat pendakwah, AJK masjid – Muhyiddin

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yasin membidas larangan sekali gus menyekat dan mengenakan tindakan terhadap pendakwah yang berlainan fahaman politik berceramah di masjid mahu pun dalam program di televisyen. 

Muhyiddin menerusi hantarannya di Facebook, beliau berkata, pihak berwajib tidak seharusnya mengekang penyebaran dan pengajaran Islam berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jemaah secara ketat sehingga menafikan mereka menimba ilmu di tempat perhimpunan.

Malah, beliau berkata, pengurusan masjid yang memilih Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid secara demokratik oleh ahli kariah juga tidak harus dipolitikkan dengan menafikan jemaah Islam menguruskan masjid mereka sendiri.

“Saya membaca berita berkenaan beberapa orang pendakwah terkenal yang dilarang memberi ceramah di masjid dan juga di televisyen. Ada juga yang video Tik Tok ceramah mereka disekat.

“Saya juga melihat video yang viral berkenaan AJK beberapa masjid di Pulau Pinang yang meletak jawatan kerana mendakwa terdapat campur tangan daripada kerajaan negeri berkenaan kedudukan mereka yang dipilih oleh ahli kariah,” katanya.

Muhyiddin yang merupakan Presiden Bersatu berkata, pada PRU15 lalu ramai pihak berpengaruh termasuk pendakwah bebas dan artis terkenal yang memberikan sokongan terbuka kepada PN. 

Jelasnya, ada pihak yang menyatakan sokongan terbuka kepada parti lain termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). Ini adalah hak mereka dalam sebuah negara demokrasi.

“Selepas PRU selesai, seeloknya tiada sebarang tindakan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyatakan sokongan terbuka kepada mana-mana parti politik.

“Barulah boleh dikatakan pilihan raya di negara kita dijalankan secara bebas, adil dan kompetitif,” katanya. -Malaysiapost

Komen