9 melecur dapur gas meletup

9 melecur dapur gas meletup

SEMBILAN lelaki warga asing melecur selepas dapur gas di rumah kongsi mereka di Felda Kerteh 2, Terengganu, meletup malam tadi.

Mereka yang berusia antara 21 hingga 41 tahun itu terdiri daripada lapan warga Nepal dan seorang Bangladesh.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, kesemua mangsa dikatakan sedang memeriksa sebuah dapur selepas tercium bau gas yang kuat di tempat kejadian.

Mereka yang cedera ialah, Ganesh Pariyar, 21, Surendra Kumar Yadav, 39, Hari Narayan Yadar,38, Jhuplal Pun,37, Lal Bahadur Sidali,24, dan seorang warga Bangladesh, Islam Mohammad Tajur, 37.

Diplay Kumar Yadar,23, ditahan wad di Hospital Dungun untuk rawatan lanjut sementara Baijanath Khatbe,39, dan Nadhal Sah Haluwai,41, diberi rawatan sebagai pesakit luar.

Seorang mangsa, Baijanath Khatbe, 39, berkata, ketika kejadian, dia bersama 19 rakan lain sedang berehat di rumah kongsi terbabit selepas selesai makan malam.

Menurutnya, sebelum kejadian, seorang daripada mangsa tercium bau gas yang kuat di bahagian dapur sebelum membuat pemeriksaan.

“Ketika membuat pemeriksaan, rakan gagal mengesan punca bau gas itu sebelum memanggil rakan lain untuk membantu.

“Saya bersama lapan rakan pergi ke dapur dan tiba-tiba berlaku letupan yang sangat kuat sebelum api besar menyambar,” katanya dipetik Berita Harian.

Sementara itu, Nandlal Sah berkata, dia bersama kesemua mangsa yang melecur dihantar majikan mereka ke Hospital Dungun.

Katanya, dia bersama rakan-rakannya itu baru empat hari datang ke situ untuk bekerja sebagai buruh di ladang kelapa sawit.

Menurutnya, letupan itu sangat kuat sehingga menyebabkan dia melecur di bahagian muka, kedua-dua belah kaki dan tangan.

“Saya tidak tahu bagaimana kejadian itu boleh berlaku sehingga mengeluarkan api yang sangat besar dan menyambar kami semua,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah mengesahkan kejadian itu. – Malaysiapost

Komen