Bekas menteri saran Anwar hapus kuasa imigresen Sabah, Sarawak

Bekas menteri saran Anwar hapus kuasa imigresen Sabah, Sarawak

BEKAS Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim menyarankan supaya peraturan penggunaan pas oleh rakyat Malaysia dari Semenanjung untuk masuk ke Sabah dan Sarawak dihapuskan.

Katanya, ia sebagai timbal balik kepada permintaan kedua-dua negeri itu untuk mendapatkan hak mereka antaranya berkaitan minyak dan gas yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sekarang ini perbincangan rancak nak bagi hak-hak Sabah dan Sarawak seperti MA63, serta minyak dan gas.

“Tapi boleh tak Datuk Seri (Anwar Ibrahim) minta pada Sabah dan Sarawak, orang kita pergi sana tak payah pakai passport lah.. tak payah pakai kad pengenalan (MyKad).

“Ini negara kita‚Ķ peruntukan untuk mereka mengehadkan kemasukan (penduduk) Semenanjung ini 70 tahun dulu mungkin ada asasnya, namun sekarang ini kenapa mereka perlu nak kawal imigresen sampai begitu sekali,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.

Tambah Zaid, ketika Sabah dan Sarawak menuntut hak mereka, kedua-dua negeri juga perlu memberi sedikit hak kepada rakyat Malaysia di Semenanjung.

“Saya pergi sana ke bawa ic dan macam-macam (proses), ini negara kita.

“Jadi boleh tak dalam pertukaran untuk MA63 dan perkara lain yang besar, kita minta perkara simple seperti ini daripada Datuk Seri Fadillah Yusof (Timbalan Perdana Menteri), daripada Sabah dan Sarawak,” katanya lagi.

Untuk rekod, kuasa imigresen adalah antara 20 perkara dipersetujui dalam pembentukan Malaysia serta terkandung dalam MA63.

Menerusi perkara tersebut, warga Malaysia dari Semenanjung yang masuk ke Sabah dan Sarawak perlu menunjukkan MyKad dan diberikan pas sementara untuk berada di kedua-dua negeri bagi tempoh tertentu. – Malaysiapost

Komen