Buat temu janji di fasiliti kesihatan primer guna MySejahtera mulai hari ini

Buat temu janji di fasiliti kesihatan primer guna MySejahtera mulai hari ini

BERMULA hari ini, orang ramai boleh menempah tarikh dan masa janji temu bagi lapan perkhidmatan kesihatan di semua fasiliti kesihatan primer melalui aplikasi MySejahtera.

Antara perkhidmatan yang dimasukkan dalam sistem berkenaan adalah rawatan pesakit luar, Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI), saringan kesihatan PeKa B40 dan pemeriksaan kesihatan pra-pekerjaan atau pra-pengajian.

Selain itu, saringan pra-perkahwinan, Khidmat Berhenti Merokok (KBM), perkhidmatan perancang keluarga serta prosedur seperti rawatan luka, penukaran tiub, dan lain-lain.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata langkah itu bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan akses pelanggan di fasiliti KKM.

“Mengambil kira masa menunggu yang lama, sistem janji temu melalui aplikasi MySejahtera yang sedia ada di semua fasiliti kesihatan primer akan diperluaskan sebagai langkah mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan dan akses klien di fasiliti kesihatan primer.

“Perkhidmatan ini telah dimulakan di 673 klinik kesihatan secara berfasa, bermula dengan saringan NHSI, PeKa B40, KBM dan akan diperluaskan kepada perkhidmatan lain secara berperingkat.

“Sistem janji temu aplikasi MySejahtera bagi tahun 2023 telah mula sepenuhnya dan tempahan boleh dilakukan bermula hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Zaliha berkata, sistem janji temu itu bertujuan membantu fasiliti kesihatan primer mengatur jadual perkhidmatan berdasarkan kapasiti masing-masing dan mengelakkan kesesakan di tempat pendaftaran dan menunggu.

Menurutnya, antara kelebihan sistem janji temu atas talian tersebut termasuk pelanggan dapat merancang lawatan ke fasiliti kesihatan primer mengikut kesesuaian masa.

“Selain itu, pelanggan juga boleh mengubah tarikh janji temu melalui aplikasi MySejahtera dengan mudah tanpa perlu membuat panggilan ke fasiliti kesihatan.

“Sistem ini juga mempunyai fungsi ‘Peringatan Automatik’ supaya pelanggan menghadirkan diri mengikut masa dan tarikh yang telah ditempah,” katanya.

Untuk kes kecemasan, demam atau penyakit berjangkit, Dr Zaliha berkata, orang ramai boleh terus ke fasiliti kesihatan primer tanpa perlu membuat janji temu.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa komited dalam usaha ke arah pendigitalan sistem kesihatan agar sejajar dengan Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) 2021 – 2025 KKM di bawah Teras Strategik 2 iaitu Pemantapan Teknologi Baharu,” katanya.

Menurutnya, dengan pendigitalan sistem perkhidmatan kesihatan yang disediakan KKM itu ia diharapkan dapat mempromosi program kesihatan dengan lebih berkesan selain menjadikan sistem penjagaan kesihatan negara lebih efisien. – Malaysiapost

Komen