Kerajaan tidak berhasrat tetapkan harga siling tiket kapal terbang

Kerajaan tidak berhasrat tetapkan harga siling tiket kapal terbang

KERAJAAN tidak berhasrat untuk menetapkan harga siling bagi tambang penerbangan domestik, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Jelasnya isu berkenaan sudah dibincangkan sejak sekian lama namun, ia tidak boleh dilaksanakan ketika ini disebabkan beberapa implikasi jangka panjang.

“Berbeza dengan penetapan tambang istimewa sempena musim perayaan, ia boleh dilaksanakan berdasarkan beberapa terma yang dipatuhi bersama pengendali lapangan terbang,” katanya pada sidang media.

Loke berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pengumuman penerbangan tambahan Air Asia sempena Tahun Baharu Cina, di Sepang, hari ini.

Katanya, jika kerajaan mengenakan harga siling harga tiket kapal terbang ia akan memberi lebih banyak kesan negatif kepada pengguna.

Malah beliau tidak menolak kemungkinan syarikat penerbangan akan mengurangkan kapasiti penerbangan mereka.

“Tiada syarikat penerbangan akan beroperasi kerana mereka mungkin akan mengurangkan kekerapan dan kapasiti penerbangan selain terpaksa menanggung kerugian,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Loke meningatkan syarikat penerbangan supaya dapat meningkatkan kekerapan penerbangan supaya tambang penerbangan boleh dikurangkan lagi pada masa depan.

Bagaimanapun dia memahami kekangan dihadapi syarikat penerbangan untuk menambah kekerapan penerbangan sedia ada.

“Bukan semua syarikat penerbangan mempunyai lebih 100 pesawat, malah selepas pembukaan sektor ekonomi tahun lalu, ada syarikat yang masih beroperasi pada kadar 50 peratus kapasiti.

“Menuju ke hadapan, dengan peningkatan jumlah trafik, saya yakin semua syarikat akan beroperasi dengan kapasiti penuh,” tambahnya lagi.- Malaysiapost

Komen