Perwakilan tentukan jawatan Presiden, Timbalan Presiden Umno dipertandingkan

Perwakilan tentukan jawatan Presiden, Timbalan Presiden Umno dipertandingkan

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kebijaksanaan perwakilan Umno dalam Perhimpunan Agung Umno 2022 yang bakal berlangsung Januari ini, menentukan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu dipertandingkan atau sebaliknya. 

Presiden Umno itu berkata, perkara itu selari dengan prinsip demokrasi yang sentiasa diamalkan dalam memimpin partinya. 

“Sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno dipertandingkan atau tidak, biar perwakilan yang tentukan.

“Jadi saya seorang yang demokrat. Saya arahkan kepada perwakilan untuk menentukan,” katanya dalam program bual bicara bertajuk Rekonsiliasi Politik – Apa Untung Pada Negara terbitan Nadi Rakyat Chanel, malam tadi. 

Bagaimanapun, Ahmad Zahid mengimbas beberapa peristiwa yang melibatkan pemilihan dua jawatan tertinggi dalam Umno sebelum ini. 

Beliau turut memberi contoh beberapa bekas Presiden Umno sebelum ini yang mengekalkan jawatan mereka tanpa bertanding dalam pemilihan parti. 

Antaranya ketika Umno dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi.

“Tetapi harus diingat ada beberapa kali jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak ditandingi. Di zaman pemimpin 22 tahun (Dr Mahathir) ada. Beberapa kali di zaman Pak Lah (Abdullah).

“Zaman Datuk Seri Najib (Razak) Ada cadangan tetapi tak jadi…Beberapa kali juga beliau mengalami keadaan itu,” katanya.

Mengulas mengenai ketika beliau menjadi pemangku Presiden Umno pada 2018, Ahmad Zahid menjelaskan, beliau ketika itu memutuskan bahawa semua jawatan boleh dipertandingkan termasuk Presiden serta Timbalan Presiden.

Jelasnya, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi walaupun ada suara dalam Umno yang mendesak supaya jawatan berkenaan tidak dipertandingkan.

“Ya saya mengakui bahawa pada 2018 walaupun keputusan Perhimpunan Agung 2017 meminta supaya Presiden dan Timbalan Presiden tidak ditandingi.

“Tetapi apabila saya menjalankan tugas sebagai Presiden walaupun ketika itu saya belum lagi Presiden dan cuma Naib Presiden Yang menjalankan tugas Presiden Umno pada 2018, saya telah memutuskan dalam Majlis Kerja Tertinggi bahawa semua jawatan boleh dipertandingkan,” katanya. -Malaysiapost

Komen