Polis siasat pasangan Rusia buat kerja ‘gila’ panjat Menara Merdeka 118

Polis siasat pasangan Rusia buat kerja ‘gila’ panjat Menara Merdeka 118

POLIS akan menjalankan siasatan terhadap pasangan dari Rusia yang memanjat Menara Merdeka 118, di ibu negara, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman, berkata pihaknya akan memanggil pasangan berkenaan untuk dirakam keterangan yang turut didakwa telah menceroboh masuk Menara Merdeka 118 itu. 

“Kedua-dua individu berkenaan akan disiasat atas tuduhan menceroboh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, gambar pasangan itu, Ivan Beerkus dan Angela Nikolau dari puncak bangunan kedua tertinggi di dunia berkenaan dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com.

Pasangan itu dipercayai menggunakan dron untuk mengambil gambar dan memanjat tangga dari dalam menara untuk ke puncak.

Dalam hantaran dimuat naik Ivan di laman sesawang itu, dia memaklumkan pengalaman berada di atas puncak menara berkenaan sebagai sesuatu yang ‘gila’.

Manakala, Angela pula menaikkan hantaran di Twitter dengan mengakui dia tidak ditahan semasa memanjat menara terbabit yang belum lagi dibuka kepada umum.

“Saya sudah melakukan perbuatan ‘gila’ dan tidak ditahan. Ia pengalaman menakutkan, tetapi dengan penamat yang menggembirakan,” katanya. -Malaysiapost

Komen