Presiden Kelab Media Pahang sudah tiada

Presiden Kelab Media Pahang sudah tiada

Ben Ibrahim

PRESIDEN Kelab Media Pahang, Datuk Nik Naizi Husin meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada jam 11.40 malam tadi.

Allahyarham Nik Naizi, 63, dimasukkan ke Coronary Care Unit (CCU), Jabatan Kardiologi HTAA, pada Ahad lalu selepas mengalami sakit dada.

Bagaimanapun, Allahyarham terpaksa ditidurkan selepas keadaannya semakin kritikal dan dikatakan mendatangkan serangan jantung kali pertama pada 2 Disember lalu.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Salma Abdul Samad, 57, dan empat anak serta enam cucu.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, Jalan Haji Ahmad Kuantan pada jam 7.19 pagi.

Allahyarham pernah berkhidmat sebagai wartawan akhbar The Star bermula April 1982 dan bersara wajib pada September 2019.

Selepas itu, Allahyarham menyambung kontraknya sebagai wartawan di akhbar sama sehingga Mac 2020.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut berkongsi berita sedih itu melalui hantaran di laman sosial Facebook miliknya pagi tadi.

“Mendapat perkhabaran duka awal pagi tadi dengan pemergian Dato’ Nik Naizi Husin telah kembali ke rahmatullah.

“Allahyarham merupakan Presiden Kelab Media Pahang yang sangat aktif dan kami sering bersua dalam majlis dan program yang saya hadiri.

“Saya doakan roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman. Semoga ahli keluarga tabah dan diberikan kekuatan mengharungi dugaan ini. Al-Fatihah,” katanya. – Malaysiapost

Komen