Saman terhadap Tommy: Najib failkan rayuan

Saman terhadap Tommy: Najib failkan rayuan

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membatalkan samannya terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, berhubung dakwaan salah laku dalam jawatan awam.

Saman itu difailkan Najib pada 22 Oktober tahun lalu dengan menuntut ganti rugi RM1.9 juta kerana mendakwa Tommy dan kerajaan menyalahgunakan kuasa dengan mendakwanya dalam beberapa kes, termasuk kesalahan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Memetik Berita Harian, Peguam Najib, Yudistra Darma Dorai berkata, pihaknya sudah memfailkan notis rayuan pada 22 Disember lalu.

Perkara itu disahkan peguam Tommy, Mervyn Lai, bagaimanapun katanya Mahkamah Rayuan belum menetapkan tarikh lanjut.

Pada 25 November lalu, Hakim Datuk Ahmad Bache membenarkan permohonan Tommy membatalkan saman itu, selepas mendapati ia tidak boleh dipertahankan kerana remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Menurut hakim, Tommy ketika itu adalah peguam negara kerajaan dan bukannya peguam negara politik yang menjalankan kuasanya dengan bebas berdasarkan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dan mempunyai kuasa budi bicara yang luas untuk menjalankan pendakwaan.

Jelasnya, tindakan undang-undang yang mencabar kuasa peguam negara juga tidak boleh dibicarakan di mahkamah dan peguam negara mempunyai imuniti daripada disaman.

Tommy dan kerajaan melalui notis difailkan pada 18 November tahun lalu, memohon mahkamah membatalkan saman berkenaan dengan alasan jika diteruskan dan didengar akan menyebabkan kes jenayah terhadap Najib yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi akan tergendala.

Kedua-dua defendan itu berkata, saman berkenaan juga adalah tindakan serangan sampingan oleh Najib bagi menghalang pendakwaan jenayah terhadapnya.

Bagaimanapun pada 8 September lalu, Najib menarik balik saman berkenaan terhadap kerajaan. – Malaysiapost

Komen