Siti Nurhaliza beli rumah pertama di Dubai, jadi inspirasi anak-anak

Siti Nurhaliza beli rumah pertama di Dubai, jadi inspirasi anak-anak

PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin menjadi inspirasi anaknya apabila berjaya memiliki rumah pertama di Dubai.

Menerusi satu perkongsian di Instastory, anak tirinya, Asyraf Khalid, berkongsi berita gembira tersebut dan meluahkan rasa bangga dengan kejayaan Siti Nurhaliza.

Asyraf yang juga usahawan berkata, kejayaan yang dimiliki oleh Siti Nurhaliza itu menjadi inspirasi dan pemangkin semangat buatnya dan isteri, Tya Ariffin untuk bekerja lebih keras.

“Tahniah Mak Iti kerana berjaya memiliki kediaman pertama di Dubai. Saya sangat gembira dan bangga dengan kejayaan Mak Iti.

“Kejayaan ini adalah inspirasi buat saya dan Tya untuk berjaya,” katanya.

Asyraf turut berdoa semoga beliau dimurahkan rezeki dan mencapai kejayaan yang sama.

“Doakan satu hari nanti Ap pun boleh ikut jejak langkah Mak Iti. Ap doakan Allah akan murahkan lagi rezeki ayah dan Mak Iti.

“Mak Iti memang layak untuk semua ini selepas segala usaha dan penat lelah yang dilakukan selama ini,” katanya.

Beliau juga sempat berseloroh tidak perlu menyewa hotel kerana boleh menumpang di rumah ibu tirinya itu.

Terdahulu, penyanyi Jerat Percintaan menerusi Instastory berkongsi video yang mendedahkan rumah jenis kondominium yang baru dibelinya di Dubai.

Dalam perkongsian itu, Siti meluahkan rasa syukur dan berkongsi ruang kediaman dan pemandangan yang dikelilingi bangunan pencakar langit.

“Alhamdulillah, home sweet home,” tulisnya. – Malaysiapost

Komen