Subsidi bersasar, kerajaan guna data bersepadu, komprehensif – Salahuddin

Subsidi bersasar, kerajaan guna data bersepadu, komprehensif – Salahuddin

KERAJAAN akan menggunakan pangkalan data bersepadu dan komprehensif dalam mekanisme pemberian subsidi bersasar termasuk petrol RON95.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, menjelaskan kerajaan bukan hanya menggunakan data daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja.

Menurutnya, antara data yang akan digunakan untuk mengenal pasti penerima subsidi termasuk Bank Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Perangkaan Malaysia dan Khazanah Nasional.

“Data JPJ itu hanyalah satu daripada elemen yang akan digunakan dalam pemberian subsidi bersasar petrol RON95.

“Memang antara data yang akan dirujuk adalah data JPJ, namun perlu ada pusat data yang lebih bersepadu dan komprehensif untuk kerajaan menjayakan pemberian subsidi bersasar dengan berkesan.

“Jadi, tidak tepat kerajaan hanya akan rujuk pangkalan data JPJ dan berdasarkan cc (kuasa kuda) kenderaan sahaja untuk kita beri subsidi bersasar petrol RON95,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Sabtu lalu, Salahuddin memaklumkan pangkalan data JPJ akan digunakan sebagai satu daripada elemen dalam pemberian subsidi bersasar membabitkan petrol RON95.

Beliau dilaporkan berkata, itu antara yang dipersetujui dalam mesyuarat kementeriannya bersama dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Ekonomi, minggu lalu.

Salahuddin dilaporkan berkata, pangkalan data JPJ digunakan untuk subsidi petrol RON95 kerana kerajaan boleh kenal pasti cc kenderaan golongan sasaran untuk subsidi petrol berkenaan.

Bagaimanapun, rata-rata pengguna dilaporkan tidak bersetuju dengan mekanisme kerajaan untuk memberi subsidi bersasar minyak RON95 berdasarkan kepada cc kenderaan.

Pengguna berpendapat, cc kenderaan tidak menggambarkan keadaan sebenar ekonomi pengguna, lebih-lebih lagi banyak kenderaan mewah kini tampil dengan cc lebih kecil seperti jenama Mercedes dan Honda.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, kerajaan akan meneliti dan melihat semua data itu sebelum membuat keputusan akhir mengenai mekanisme pemberian subsidi bersasar termasuk petrol RON95. – Malaysiapost

Komen