Tidak lebih dua orang Ahli MKT tak bersetuju kerjasama dengan PH – Zahid

Tidak lebih dua orang Ahli MKT tak bersetuju kerjasama dengan PH – Zahid

Najamuddin Mohd Nor

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan beliau tidak pernah mengambil keputusan sendiri dalam menentukan hala tuju Umno terutamanya selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu. 

Presiden Umno itu berkata, keputusan parti itu memberi sokongan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus membentuk Kerajaan Perpaduan telah mendapat restu daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno terlebih dahulu. 

Malah, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menafikan telah menggunakan kuasa Presiden Umno dalam menentukan setiap keputusan parti selama ini.

“Harus diingat dalam Majlis Kerja Tertinggi Umno kita berbeza pendapat, tetapi bila ada sesuatu keputusan itu telah dicapai, mereka sepakat. 

“Saya ingin sebut tidak lebih daripada dua orang yang tidak bersetuju daripada seluruh Ahli Majlis Kerja Tertinggi yang kita ada. 

“Jadi adakah itu dikatakan tidak demokratik? Adakah saya gunakan kuasa autokratik atau pun saya seorang diktator yang membuat keputusan sebegini? Saya sebenarnya jaga kepentingan parti saya sendiri kerana ini amanah yang diberikan perwakilan yang memilih saya saya dalam perhimpunan agung tahun 2018,” katanya. 

Ahmad Zahid berkata demikian dalam program wawancara khas Nadi Rakyat Chanel menerusi saluran Youtube, malam tadi.  

Menjelaskan mengenainya, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, Umno dan BN telah membuat pertimbangan untuk bekerjasama dengan PH setelah memperhalusinya bahawa mereka akan menerima ‘mudarat’ kecil berbanding sekiranya bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN). 

Jelasnya, Umno lebih berpotensi untuk memenangi semula di kerusi yang mereka tewas pada pilihan raya akan datang sekiranya bekerjasama dengan PH. 

“Saya telah berbincang dengan rakan-rakan bukan sahaja dalam Dewan Tertinggi BN, tetapi juga dalam MKT Umno, kita lihat dari segi mudarat, mana mudarat yang lebih besar dengan PN atau pun PH? 

“Kami telah melakukan analisis politik, bukan hanya politik sekarang, untuk jangka masa sederhana dan jangka panjang. Mudarat mana yang kurang yang boleh terus merelevankan Umno. 

“MKT telah memutuskan dengan PN lebih banyak mudaratnya sebab mereka bertanding di kawasan kita bertanding iaitu di kelompok yang mempunyai pengundi Melayu. Kita akan berperang di gelanggang yang sama. 

“Di dalam PH, kita lihat dari segi analisis politik, kita melakukan beberapa unjuran bahawa potensi besar untuk kita menang semula kawasan-kawasan yang kita kurang undi dahulu, boleh kita gali semula potensinya. 

“Ini lebih baik untuk ‘survival’, untuk kesinambungan jangka panjang Umno dan BN,” katanya. 

Ahmad Zahid berkata demikian bagi menjawab persoalan moderator Datuk Rafi Awang Kechik sama ada Umno dan BN membuat pertimbangan berdasarkan hubungan baik beliau dengan Anwar. -Malaysiapost

Komen