Umno belum putuskan jawatan Presiden, Timbalan Presiden dipertandingkan

Umno belum putuskan jawatan Presiden, Timbalan Presiden dipertandingkan

UMNO belum memutuskan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden akan dipertandingkan pada pemilihan parti tidak lama lagi.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan membuka atau tidak pertandingan dua jawatan itu belum ditetapkan.

Tambahnya, perkara itu kebiasaannya dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Selalunya dibincang dalam mesyuarat MKT. Kita tiap-tiap bulan ada mesyuarat, sama ada (dibuka pertandingan atau tidak) belum ada lagi keputusan,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.

Beliau ditemui media selepas menyampaikan bantuan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung La di Besut hari ini.

Sementara itu Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, Umno berterima kasih kepada semua pihak yang memberi pandangan berhubung pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu.

Selain itu, beliau memberitahu, perkara berkaitan kerajaan perpaduan melibatkan kerjasama Umno dan Pakatan Harapan (PH) antara yang disentuh dalam ucapan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung Umno.

“Kita juga tidak menyekat perwakilan daripada menyentuh perkara mengenai itu (kerjasama Umno dan PH). Keputusannya telah dibuat oleh MKT,” katanya.

Malam tadi, Ahmad Zahid dalam satu wawancara berkata, beliau menyerahkan kebijaksanaan perwakilan Umno dalam Perhimpunan Agung Umno 2022 yang bakal berlangsung Januari ini, menentukan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti dipertandingkan atau sebaliknya.

Beliau berkata, perkara itu selari dengan prinsip demokrasi yang sentiasa diamalkan dalam memimpin partinya. – Malaysiapost

Komen