Wan Saiful saran PM10 ganti Rafizi dengan Datuk Jo

Wan Saiful saran PM10 ganti Rafizi dengan Datuk Jo

BERSATU menyarankan Datuk Seri Anwar Ibrahim menggantikan Rafizi Ramli dengan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani jika Menteri Ekonomi itu terus angkuh.

Sambil menyifatkan Rafizi angkuh dan tidak kompeten, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata matlamat kerajaan bukan untuk membuatkan sesiapa “terduduk” sebaliknya membantu rakyat tanpa mengira pegangan politik.

Menurutnya, semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN) memegang kuasa, pihaknya prihatin menjaga kebajikan semua rakyat dan tidak pernah terniat supaya Pakatan Harapan (PH) “terduduk”.

“Tak kira PN atau PH, semua kita bantu. Itulah beza kerajaan PN yang adil dan PH-BN yang angkuh dan tidak kompeten.

“Sifat angkuh PH-BN inilah menyebabkan mereka sentiasa salah target (sasaran). Target sebenar sepatutnya menghasilkan idea bantu rakyat.

“Tapi disebabkan angkuh, target PH-BN masih lagi nak balas dendam jika ada orang kritik mereka. Akibatnya idea penyelesaian masalah rakyat masih belum ada,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Beliau mengulas kenyataan Rafizi baru-baru ini yang berkata, dalam sebulan lagi, ‘geng’ PN yang mempertikai kenyataan nasihatnya kepada pengguna akan ‘terduduk’.

“Sama macam mereka ‘terduduk’ soal lain yang asalnya kontroversi tapi bila hujahnya dibentang satu persatu, rakyat yang cerdik faham,” katanya.

Jumaat lalu, Rafizi berkata, pengguna perlu berperanan menjadikan penawaran dan permintaan terhadap barangan lebih anjal, termasuk dengan tidak membeli produk dijual pada harga lebih mahal berbanding sebelum ini.

Beliau berkata seandainya pengguna tidak membeli atau menggunakan produk yang menawarkan harga tidak berpatutan, ia akan memberi gambaran kepada peniaga dan pembekal untuk tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan.

Mengulas lanjut Wan Saiful berkata, sepatutnya pada masa ini, Rafizi melihat bagaimana memulakan ‘supply-side reform’ supaya ada penyelesaian jangka panjang berkaitan harga barang.

Katanya, dasar berkaitan insentif, percukaian, subsidi, peraturan eksport, semuanya adalah perkara yang boleh kerajaan gunakan untuk bantu rakyat.

“Sekiranya Rafizi terus menerus angkuh, saya cadangkan Anwar gantikan dia dengan Dato Johari Abdul Ghani.

“Dato Jo jauh lebih berwibawa dan tidak kebudak-budakan sehingga nak buat sesiapa “terduduk” semata-mata sebab dendam politik,” katanya lagi. – Malaysiapost

Komen