11 waris mangsa tanah runtuh Batang Kali yang maut sudah terima BWI Kematian

11 waris mangsa tanah runtuh Batang Kali yang maut sudah terima BWI Kematian

KERAJAAN sudah menyerahkan  Bantuan Wang Ihsan (BWI) Kematian kepada 11 keluarga atau waris mangsa yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali setakat semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, berkata urusan penyaluran BWI Kematian kepada 20 lagi waris mangsa yang meninggal dunia akan disalurkan dalam masa terdekat. 

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) 92 orang mangsa terlibat dalam tragedi tanah runtuh pada 16 Disember lalu telah berakhir pada 24 Disember 2022 setelah mayat terakhir dijumpai. 

Beliau berkata, daripada jumlah berkenaan seramai 61 orang telah berjaya diselamatkan dan 31 orang meninggal dunia.

“Bagi mangsa yang meninggal dunia dalam tragedi ini, keluarga atau waris setiap mangsa akan menerima BWI Kematian sebanyak RM10,000. Manakala untuk mangsa yang selamat akan menerima BWI sebanyak RM1,000 bagi setiap keluarga.

“Hari ini (semalam) saya menyampaikan BWI Kematian kepada dua waris mangsa iaitu:

Encik Tong Chee Kong yang kehilangan isteri dan anak lelaki; (RM 20,000); dan Puan Siti Esah Hassan yang kehilangan anak perempuan (RM10,000),” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, penyaluran BWI kepada 45 mangsa yang selamat juga akan disalurkan dalam masa terdekat. 

“Mangsa-mangsa yang terlibat adalah dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Pulau Pinang,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media ketika meninjau lokasi kejadian tanah runtuh berkenaan mengumumkan kerajaan akan memberi sumbangan RM10,000 untuk setiap mangsa yang meninggal dunia dalam tragedi itu.

Menurutnya, BWI RM1,000 juga diberikan kepada ketua isi rumah mangsa yang tidak terbabit dengan kematian. – Malaysiapost

Komen