Annuar jamin MN tidak didaftar sebagai parti politik

Annuar jamin MN tidak didaftar sebagai parti politik

PRESIDEN Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa menegaskan badan bukan kerajaan (NGO) itu tidak akan didaftarkan sebagai sebuah parti politik.

Bekas Ketua Umno Bahagian Ketereh itu berkata, perkara tersebut tidak akan berlaku ekoran enggan melihat lebih banyak parti yang memecahbelahkan orang Melayu, kerana itu prinsipnya sejak berkecimpung dalam politik.

“Saya beri jaminan MN tidak boleh jadi parti. Kalau saya ada peluang, ruang, saya nak lihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan ahli Umno yang keluar parti, kembali bersama. Ahli Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) juga kembali kepada Umno, biar tinggal Umno dan PAS sahaja serta parti-parti lain.

“Saya percaya dalam konteks membangunkan bangsa terutama negara majmuk seperti Malaysia, kena ada tiang seri dan ia mesti datang daripada kelompok teras iaitu bumiputera dan orang Melayu.

“Jika kaum majoriti dan kelompok teras ini tidak berpecah belah, maka ia jadi tiang seri dan asas, tetapi perpaduan itu jangan benci orang lain, menafikan hak kaum lain, (jadi) fanatik agama.

“Pokok pangkalnya, parti orang Melayu kena kembali kepada garis panduan dalam al-Quran dan sunnah,” katanya dalam wawancara bertajuk ‘Apa khabar Annuar Musa?’ terbitan Sinar Harian, malam ini.

Annuar turut mendedahkan, kerjasama antara PAS dan Umno menerusi gagasan MN telah digagalkan oleh individu yang berkepentingan hingga menyebabkan permuafakatan tersebut gagal diteruskan.

Katanya, beliau mengetahui terdapatnya gerakan yang dilaksanakan bertentangan dengan keputusan dipersetujui ketika penubuhan gagasan berkenaan.

 “Sebagai Setiausaha Agung MN ketika itu, saya bergerak untuk menggabungkan lebih banyak parti Melayu dan sebagainya, (tetapi) ada orang tertentu pergi ‘pusing’ buat jajaran baharu secara senyap-senyap,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak mahu mendedahkan secara terbuka berkenaan perkara itu kerana tidak mahu memburukkan keadaan.

“Saya tahu dengan tepat usaha dibuat di belakang, lari dari keputusan MN sedangkan ia diputuskan dalam Mesyuarat Tertinggi (Umno), Biro Politik dan Perhimpunan Agung Umno manakala PAS pula (diputuskan) dalam Dewan Syura dan muktamar. Sampai hari ini belum terombak,” katanya. – Malaysiapost

Komen