Antara yang ‘viral’ dalam dunia hiburan sepanjang tahun 2022

Antara yang ‘viral’ dalam dunia hiburan sepanjang tahun 2022

Nurul Huda Abhar

TAHUN 2022 yang bakal berlabuh beberapa hari lagi meninggalkan pelbagai kenangan terutamanya kepada penggiat seni tanah air.

Antara kejayaan, senyuman, air mata, dan kontroversi menjadi asam garam anak seni yang memilih cabang ini sebagai punca rezeki.

Sepanjang 12 bulan yang akan berlalu, beberapa siri berita tular singgah di mata para pembaca Malaysiapost, khususnya bagi bahagian hiburan.

Menerusi sorotan 2022, Malaysiapost mengimbau kembali beberapa laporan dunia hiburan yang pernah tular tahun ini.

  1. Zul Ariffin kena tindakan undang-undang gara-gara lakonan aksi ghairah

Pelakon Zul Ariffin didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang 4 Oktober lalu, selepas mengaku bersalah memuat naik kandungan bersifat sumbang dalam media sosial.

Kontroversi itu tercetus apabila Zul memuat naik adegan ‘panas’ lakonannya dalam drama ‘Perempuan Itu’ bersama pelakon baharu, Siti Hariesa di Instagram.

Adegan lakonannya itu memaparkan dia mendukung pelakon baru itu selain babak menyuap makanan secara menghairahkan.

  1. Noh Salleh dikecam meludah atas pentas

Noh Salleh dikecam hebat selepas video memaparkan aksi vokalis kumpulan Hujan meludah di atas pentas ketika menjayakan sebuah persembahan, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, September lalu.

Dalam video tersebut, Noh dilihat tanpa rasa bersalah meludah dari atas pentas ketika membuat persembahan di hadapan ratusan penonton.

Pengurus kumpulan Hujan, Ahmad Ariffin Ahmad, tampil menjelaskan bahawa Noh terkena sedikit renjatan elektrik kerana mikrofon dipegang mengalami masalah ketika meletakkan mikrofon berhampiran mulutnya.

Katanya, disebabkan itu Noh secara spontan meludah di atas pentas bagi menghilangkan rasa kebas di mulut.

  1. Roslan Saleh kini uzur, tidak mampu melihat

Pelakon veteran Roslan Saleh kini semakin uzur dan deria penglihatannya telah tiada disebabkan menghidap penyakit kencing manis kritikal.

Saraf mata Roslan telah pun dimatikan oleh doktor bertujuan menghilangkan rasa sakit dan pening kepada yang dirasainya akibat kencing manis.

Roslan yang mesra disapa Pak Lan juga tidak mampu bergerak dan perlu memakai lampin pakai buang setiap hari.

Kisah menyayat hati Pak Lan mengejutkan ramai pihak, termasuk mendapat liputan dalam Bersamamu terbitan TV3.

  1. Neelofa akhirnya dedah wajah Bilal

Teka-teki wajah cahaya mata sulung Neelofa terjawab apabila usahawan dan pengacara popular itu mendedahkan wajah Muhammad Bilal kepada umum dalam satu perkongsian video di media sosial, Oktober lalu.

Pendedahan wajah Bilal itu dibuat selepas tular gambar seorang wanita sedang mendukung anak didakwa Bilal, di TikTok.

Video yang dikatakan dirakam secara sembunyi, dipercayai diambil di sebuah klinik.

Susulan itu Neelofa dilaporkan terkilan dengan tindakan pihak berkenaan kerana dia dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail sudah merancang untuk memperkenalkan Bilal.

  1. Yasin berdepan hukuman mati, kesalahan edar dadah jenis ganja

Bekas penyanyi nasyid dan komposer lagu, Yasin berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja di sebuah kondominium, 24 Mac lalu.

Pelantun lagu Mimpi Laila itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Seksyen, Norshila Kamaruddin.

Yasin turut tidak mengaku salah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah merah yang mana daripadanya kanabis (ganja) yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Dia mendakwa menghidap penyakit bipolar dan merayu kepada Mahkamah Majistret diberikan jaminan. – Malaysiapost

Komen