Bajet 2023 dibentang 24 Februari depan

Bajet 2023 dibentang 24 Februari depan

KERAJAAN Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual membentangkan Bajet 2023 pada 24 Februari tahun depan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata, bajet berkenaan akan dibentangkan oleh Anwar yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat.

Menurutnya, tiga minggu diperuntukkan bagi keseluruhan proses pembentangan Bajet 2023 termasuk perbahasan sebelum diluluskan.

“Ya, Bajet 2023 akan dibentang pada 24 Februari depan kerana sebelum ini hanya bajet mini dibentang bagi perbelanjaan perkhidmatan dan pembayaran gaji.

“Secara keseluruhan, proses pembentangan bajet dan perbahasan termasuk urusan jawatankuasa serta dasar akan mengambil masa 21 hari,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Jelas Johari, persidangan Dewan Rakyat akan bermula 13 Februari depan dan berlangsung selama 29 hari.

Katanya, mesyuarat pertama Parlimen ke-15 akan membuka tirainya dengan titah ucapan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada 20 Disember lalu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022. – Malaysiapost

Komen