Bersatu hantar notis kekosongan 4 kerusi di Sabah

Bersatu hantar notis kekosongan 4 kerusi di Sabah

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menghantar notis kepada Speaker Dewan Rakyat bagi memastikan telah berlaku kekosongan luar jangka membabitkan empat kerusi Parlimen di Sabah.

Naib Presidennya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata ia membabitkan empat daripada ahli Bersatu yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) 19 November lalu dengan menggunakan logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ronald yang juga Ketua Bersatu Sabah, berkata permohonan sudah dibuat kepada Speaker supaya kekosongan itu dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari.

Menurutnya, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengesahkan bahawa keempat-empat Ahli Parlimen itu adalah calon bertanding sebagai ahli Bersatu pada PRU-15, merujuk kepada surat bertarikh 3 November daripada Setiausaha Bersatu Sabah.

“Telah berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan Ahli Parlimen menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan melibatkan empat daripada ahlinya yang telah bertanding dalam PRU15 sebagai ahli Bersatu dengan menggunakan logo GRS.

“Keahlian mereka dalam GRS adalah sebagai anggota Bersatu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keempat-empat Ahli Parlimen berkenaan adalah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).

Mengulas lanjut Ronald berkata, Pengerusi GRS yang juga Pengerusi Bersatu Sabah ketika itu, Datuk Seri Hajiji Noor turut mengumumkan bahawa terdapat enam calon daripada Bersatu akan mewakili GRS untuk bertanding dalam PRU-15 pada 2 November lalu.

“Bagaimanapun, pada 10 Disember 2022, Hajiji telah membuat satu kenyataan media yang menyatakan bahawa kesemua pemimpin Bersatu Sabah telah keluar daripada parti itu,” katanya.

Jelasnya, tindakan empat Ahli Parlimen terbabit duduk di blok kerajaan pada sidang Parlimen lalu dan tidak menyokong Bersatu merupakan tindakan ‘crossing the floor’ serta melanggar janji pilihan raya kepada pengundi.

“Justeru, keahlian mereka sebagai ahli Bersatu telah gugur mengikut perlembagaan parti dan perkara ini telah dimaklumkan melalui surat bertarikh 21 Disember 2022.

“Menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan, ahli-ahli Dewan Rakyat tersebut hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan kerusi mereka hendaklah dikosongkan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Beluran. – Malaysiapost

Komen