Hentakan di kepala punca kematian kanak-kanak 4 tahun yang dipercayai didera

Hentakan di kepala punca kematian kanak-kanak 4 tahun yang dipercayai didera

PUNCA kematian kanak-kanak-lelaki berusia empat tahun yang dipercayai didera di Senggarang, Batu Pahat, pada Isnin lalu disahkan akibat hentakan objek tumpul di kepala.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata punca kematian itu diperoleh hasil bedah siasat bedah siasat ke atas mayat mangsa yang selesai dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, semalam.

“Hasil bedah siasat yang dibuat secara teliti dan didapati bahawa punca kematian mungkin hentakan benda keras di kepalanya.

“Selain itu, terdapat kesan calar-calar dan gigitan yang ditemui pihak doktor. Bagaimanapun, kita akan menunggu laporan penuh hasil bedah siasat,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) 2022 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, sehingga kini seramai 10 individu sudah dipanggil bagi dirakam percakapan bagi membantu siasatan termasuk beberapa ahli keluarga.

“Kita merakam percakapan ahli keluarga dan beberapa saksi yang kita yakin dapat membantu siasatan dan akan ada lagi individu yang dipanggil untuk dirakam percakapan,” katanya.

Beliau berkata, lima suspek termasuk kakak dan abang ipar mangsa yang sebelum ini ditahan reman sehingga Sabtu ini, akan disambung reman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada Isnin lalu, kanak-kanak lelaki berusia empat tahun itu dilaporkan meninggal dunia selepas tiga hari dirujuk ke HSI akibat tidak sedarkan diri.

Hasil siasatan awal polis mendapati kematian kanak-kanak itu dipercayai akibat didera dengan terdapat pelbagai kesan kecederaan baru dan lama di seluruh tubuh badannya.

Antara kecederaan yang dapat dilihat adalah kesan dicucuh benda panas atau di seluruh badan mangsa, termasuk di kemaluan, selain kesan pukul di bahagian belakang badan. – Malaysiapost

Komen