Lelaki ditahan susulan pandu melulu hingga penumpang tercampak.

Lelaki ditahan susulan pandu melulu hingga penumpang tercampak.

SEORANG pemandu kereta jenis Perodua Myvi ditahan selepas dipercayai memandu secara melulu hingga menyebabkan kemalangan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Hulu Kelang, kelmarin yang turut mengakibatkan seorang wanita tercampak keluar dari kenderaan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata rakaman video kemalangan berkenaan yang berlaku kira-kira jam 5.30 petang itu turut tular di media sosial.

Menurutnya, kemalangan membabitkan dua kenderaan itu dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Myvi yang dipandu secara melulu tiba-tiba menukar lorong secara ‘zig-zag’ sebelum hilang kawalan.

“Kereta itu kemudian terlanggar bahagian sisi kiri sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad Farouk berkata, pelanggaran itu turut menyebabkan penumpang hadapan kereta Myvi berkenaan tercampak keluar dan mengalami kecederaan ringan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku akibat kecuaian pemandu Perodua Myvi yang memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya.

Beliau berkata, pemandu kedua-dua kenderaan itu sudah tampil membuat laporan pada petang semalam.

“Pemandu Myvi seterusnya ditangkap untuk siasatan lanjut. Permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Pencegahan Jenayah (KPJ) akan dipohon hari ini.

“Hasil ujian awal air kencing dilakukan terhadap suspek berkenaan didapati negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau meminta saksi kejadian tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Saksi bebas yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, Inspektor Nur Nadzirah Abdul Rahim di talian 012-4401093 bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu video berdurasi 42 saat tular di media sosial memaparkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu secara melulu sebelum terbabit kemalangan dan mengakibatkan seorang wanita tercampak di atas jalan raya.

Difahamkan pemandu kereta berkenaan adalah seorang pelakon sambilan dan kejadian dikatakan berpunca daripada pertengkaran dengan teman wanitanya yang kemudian tercampak dari kenderaan itu. – Malaysiapost

Komen