Makluman palsu bantuan RM500 warga emas

Makluman palsu bantuan RM500 warga emas

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesan penularan makluman palsu kononnya mengenai bantuan tunai kepada warga emas daripada jabatan berkenaan.

Dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya, JKM memaklumkan informasi yang tular di media sosial berhubung bantuan sebanyak RM500 itu adalah palsu.

“JKM ingin memaklumkan bahawa informasi yang tular di laman sosial berhubung dengan “Bantuan Warga Emas RM500 Bagi Tahun 2023” adalah palsu!

“Orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat yang tepat mengenai bantuan JKM di laman portal rasmi JKM sahaja.

“Sila layari www.jkm.gov.my untuk mengetahui maklumat yang lebih lanjut,” menurut kenyataan itu.

Berdasarkan tangkap layar makluman palsu berkenaan yang dikongsi JKM dalam hantaran sama, informasi palsu itu turut menggunakan gambar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri. – Malaysiapost

Komen