Malaysia harap Afghanistan kaji semula larangan wanita masuk universiti

Malaysia harap Afghanistan kaji semula larangan wanita masuk universiti

MALAYSIA berharap Afghanistan mengkaji semula keputusan mengharamkan golongan wanita memasuki universiti di negara itu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan keputusan berkenaan sebagai kehilangan besar sekiranya sumbangan berharga wanita tidak dihargai dalam pembinaan negara.

Beliau berkata, penyertaan wanita dalam pendidikan juga adalah sebahagian daripada ajaran Islam dan aset berharga untuk kemakmuran sesebuah ummah.

“Malaysia telah membuktikan bagaimana wanita telah meningkatkan reputasi negara melalui pendidikan yang mantap.

“Memanfaatkan bakat dan kemahiran wanita sebagai rakan kongsi dalam pelbagai industri telah membantu ekonomi Malaysia berkembang maju untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Mohamed Khaled berkata, Malaysia sentiasa berusaha memastikan penyertaan wanita dalam membuat keputusan dan penglibatan pasaran buruh sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi kerana pendidikan adalah pemacu utama mobiliti sosial.

“Saya yakin bahawa pendidikan untuk wanita Afghanistan akan menjadikan mereka aset berharga kepada negara dan membantu membina daya tahan, kestabilan dan perpaduan sosial yang kukuh ke arah pembinaan negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Naib Presiden Umno telah menulis surat kepada rakan sejawatannya di Afghanistan, Neda Mohammad Nadeem supaya keputusan berkenaan dikaji semula pada Isnin lalu.

Baru-baru ini kerajaan Afghanistan yang dikuasai Taliban membuat dasar menyekat golongan wanita di negara itu daripada mengikuti pengajian di universiti. – Malaysiapost

Komen