Pembangunan lestari luar bandar perlu inklusif

Pembangunan lestari luar bandar perlu inklusif

PEMBANGUNAN lestari luar bandar perlu berlangsung dan berterusan bagi perubahan serta transformasi kawasan luar bandar yang perlu meliputi program-program yang bersifat inklusif.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata bagi tujuan itu beliau mencadangkan beberapa aspek yang perlu diambil kira untuk dilaksanakan kementeriannya.

“Peningkatan tadbir urus atau tata kelola yang baik lagi efisien di peringkat kawasan setempat, daerah, dan wilayah dengan menghubungkan sektor swasta, masyarakat sivil dan agensi kerajaan yang strategik.

“Pembangunan sektor-sektor produktif yang merujuk kepada bidang pertanian, industri bukan pertanian, perlombongan, pelancongan, sumber alam semula jadi, pengurusan alam sekitar dan sebagainya.

“Pembangunan institusi dan keupayaan beberapa bidang tujahan termasuk bidang pendidikan, latihan, kesihatan, penyelidikan lanjutan, pemasaran, simpanan dan kredit, pengangkutan, alam sekitar dan sebagainya.

“Dan pembangunan infrastruktur desa termasuk jalan-jalan raya, elektrik, telekomunikasi, perumahan, air, kesihatan awam dan sebagainya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kesemua naratif, definisi, preskripsi, deskripsi mengenai ciri pembangunan desa dan wilayah juga perlu dihalusi kerana ia akan mempengaruhi wacana dan naratif masyarakat desa.

“Penegasan ini penting untuk menyerlahkan kualiti inklusif yang merupakan bahagian daripada entiti masyarakat yang lebih besar yang perlu diberikan keutamaan berterusan oleh agensi, kementerian dan masyarakat civil.

“Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah akan memastikan aspek ini diterap dan dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat desa dan wilayah,” katanya.

Beliau berkata, hal itu juga untuk memastikan imperatif konsep desa yang pernah dikemukakannya sebelum ini bergerak sejajar dengan misi dan visi Kementerian.

“Adalah tanggungjawab kepada kita semua bagi memastikan kelestarian pembangunan desa dan wilayah,” katanya. – Malaysiapost

Komen