Pendakwaan fail petisyen rayuan keputusan bebas Zahid

Pendakwaan fail petisyen rayuan keputusan bebas Zahid

PIHAK pendakwaan hari ini memfailkan petisyen rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung kes Sistem Visa Luar Negara (VLN) dan pusat sehenti, 23 September lalu.

Presiden Umno itu dibebaskan daripada 40 pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat untuk menyambung kontrak berkaitan sistem VLN dan pusat sehenti di China.

Petisyen itu menyenaraikan 15 alasan mengapa Mahkamah Rayuan perlu membatalkan pembebasan Ahmad Zahid itu dan mengarahkannya untuk membela diri atas pertuduhan berkenaan, lapor Free Malaysia Today memetik sumber.

Ahmad Zahid dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk kali kedua selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih menerajui kerajaan perpaduan susulan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga dilantik sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Sumber berkata, rayuan itu difailkan di Mahkamah Rayuan selepas pihak pendakwaan menerima rekod rayuan daripada pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam, minggu lalu.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh pengurusan kes pada 10 Januari depan sementara menunggu rekod berkenaan disiapkan.

Pada 23 September lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Ahmad Zahid daripada 40 pertuduhan menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem VLN.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa, dilapor memerintahkan Ahmad Zahid dibebaskan daripada semua pertuduhan utama dan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009/Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mohd Yazid dipetik berkata, selepas mempertimbangkan semua bukti dan keterangan secara keseluruhan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali OSC di China dan VLN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018. – Malaysiapost

Komen