Peniaga mengaku tidak bersalah culik ejen kosmetik

Peniaga mengaku tidak bersalah culik ejen kosmetik

SEORANG peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini atas pertuduhan menculik seorang wanita ejen produk kosmetik pada 13 September lalu.

Chek Norhafizzi Chek Nor, 31, didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas menculik Rosnazirah Mohd Nain berusia 36 tahun.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, dekat Tumpat pada 5.06 petang, 13 September.

Pertuduhan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Itah Abu Bakar Adli dan tertuduh diwakili peguam, Mohd Firdaus Zainal Abidin dan Majdah Muhamad.

Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh telah membawa lari mangsa ke negara Thailand.

Namun Mohd Firdaus Zainal Abidin memohon mahkamah supaya membenarkan tertuduh dijamin kerana kes itu pramatang dan belum dibicarakan.

Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy tidak membenarkan Chek Norhafizzi diikat jamin kerana kes itu berisiko berikutan membabitkan nyawa orang lain dan dilakukan secara kumpulan serta berkemungkinan dirancang.

“Jika diberikan jaminan kemungkinan tertuduh melarikan diri itu tinggi,” katanya memetik laporan Bernama.

Hakim kemudiannya menetapkan 20 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan penetapan tarikh bicara.

Media sebelum ini melaporkan, Rosnazirah dilarikan sekumpulan lelaki dengan sebuah kereta dan ada penduduk mendakwa melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand sebelum kereta terbabit ditemui. – Malaysiapost

Komen