‘Satu fitnah terjawab, Menara KL kekal milik kerajaan’ – Annuar

‘Satu fitnah terjawab, Menara KL kekal milik kerajaan’ – Annuar

BEKAS Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menegaskan penjelasan Telekom Malaysia Bhd (TM) berhubung pemilikan Menara KL (MKL), menjawab dakwaan kononnya menara itu telah dijual secara senyap.

Beliau berkata, mengikut peraturan, sebarang penjualan atau perlupusan aset milik kerajaan hanya boleh diluluskan oleh Kabinet.

“Alhamdulillah, satu fitnah terjawab. Terima kasih TM. Rupanya MKL kekal milik kerajaan. Alhamdulillah Menara KL tidak dijual,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Annuar berkata, konsesi TM telah ditamatkan pada 2019, dan syarikat itu memutuskan untuk tidak menyambung konsesi MKL.

“Satu persoalan yang masih kabur. Difahamkan syarikat konsesi ini untung berpuluh juta setahun 2018, 2019 dulu.. Kalau benar begitu menguntungkan, kenapa TM nak lepaskan juga?

“Mungkin TM boleh jelaskan lebih lanjut,” ujarnya.

Terdahulu, TM menjelaskan bahawa MKL adalah milik kerajaan manakala operasi dan penyelenggaraan menara itu dijalankan secara konsesi.

Dalam satu kenyataan, ia berkata TM melalui anak syarikat milik penuhnya Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), telah melaksanakan konsesi itu sejak 1996.

Walau bagaimanapun, sebagai sebahagian daripada program transformasi perniagaannya, TM mahu menumpukan usaha dan sumber bagi mengukuhkan perniagaan teras iaitu telekomunikasi dan teknologi.

Oleh itu, selepas pertimbangan yang sewajarnya mengenai perubahan sifat perniagaan Menara KL daripada perkhidmatan telekomunikasi kepada pelancongan dan hospitaliti, TM pada Oktober 2021 memutuskan untuk tidak memperbaharui konsesi MKL dan memaklumkan kepada kerajaan.

Berikutan itu pada 2022, proses pemilihan untuk pemegang konsesi baharu telah diambil oleh kerajaan.

Baru-baru ini, tular di media sosial dakwaan bahawa Telekom menjual anak syarikat yang menguruskan MKL kepada syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd. – Malaysiapost

Komen