SPRM siasat dakwaan wujud penjualan saham Menara KL

SPRM siasat dakwaan wujud penjualan saham Menara KL

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sedang menyiasat dakwaan penjualan saham mencurigakan hak milik pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

SPRM dalam satu kenyataan berkata, siasatan dibuat bagi mengetahui sama ada wujudnya elemen rasuah dalam penjualan 100 peratus saham Telekom Malaysia (TM) di dalam Syarikat Menara KL Sdn Bhd (MKLSB) kepada Hydroshoppe Sdn Bhd (HSB) pada Oktober lalu.

“Setakat ini, SPRM telah memanggil tiga orang saksi dan mendapatkan beberapa dokumen daripada pihak-pihak berkaitan untuk diteliti.

“Sehubungan itu, SPRM akan menjalankan siasatan secara terperinci dan profesional daripada semua sudut berkaitan isu ini,” kata kenyataan itu, hari ini.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil dilaporkan berkata akan memantau rapat isu penjualan saham Menara KL dan bersedia untuk memberi kerjasama penuh jika pihak berkuasa melakukan sebarang siasatan berhubung isu tersebut.

Katanya, beliau turut telah menerima taklimat terperinci berkaitan konsesi pengurusan Menara KL daripada KKD pada 14 Disember lalu.

Baru-baru ini, tular di media sosial dakwaan bahawa Telekom menjual anak syarikat yang menguruskan Menara KL kepada syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd. – Malaysiapost

Komen