Zahid sudah sedar perlu sokongan undi DAP – Khairuddin

Zahid sudah sedar perlu sokongan undi DAP – Khairuddin

BEKAS Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, berkata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah sedar masa depan politik Umno terpaksa bergantung sokongan undi DAP.

Beliau berkata, ia kerana majoriti orang Melayu tidak lagi percaya pada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid dan terbukti melalui keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Untuk mendapatkan sokongan besar dari masyarakat Cina strategi Zahid Hamidi adalah terus menipu dan memperbodohkan ahli-ahli Umno agar mereka dapat terima parti DAP. Sebelum ini Zahid Hamidi lah orang yang paling kuat mengkritik serta membelasah dasar parti DAP.

“Sebab itu pada Perhimpunan Agung Umno sebelum PRU15 mereka telah memutuskan bahawa pendirian Umno pada waktu itu ‘tolak Anwar Ibrahim dan DAP.

“Tetapi kini Zahid Hamidi terus berbohong kepada orang-orang Melayu dengan menggunakan alasan kononnya ‘doktrin’ Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun merupakan punca ahli-ahli Umno benci DAP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairuddin berkata, tindakan Ahmad Zahid itu untuk ‘neutralise’ minda ahli-ahli Umno agar menerima DAP yang menjadi rakan kongsi demi jangka hayat masa depan politiknya.

Katanya, ramai mengetahui Ahmad Zahid yang juga merupakan Presiden Umno sudah berhubung dengan Anwar dan DAP merancang bekerjasama selepas PRU15, sejak beberapa tahun lalu.

 “Pada hari ini sekali lagi Zahid Hamidi cuba mengalihkan pandangan ahli-ahli Umno dan cuba meletakkan kesalahan pada bahu Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya menanam doktrin untuk membenci parti DAP.

“Kini Zahid Hamidi sudah ‘bankrap’ minda sebab itulah setiap perkataan yang keluar dari mulut beliau terpaksa mengaitkan nama Tun Dr Mahathir Mohamad untuk dapat perhatian,” ujarnya.

Sementara itu, Khairuddin berkata jika Umno terus dipimpin oleh Ahmad Zahid selepas PRU16, parti itu hanya akan tinggal nama sahaja dalam persada politik negara dan kekal sebagai sebuah persatuan kebajikan. – Malaysiapost

Komen