Ada keperluan bagi Anwar lantik Zahid jadi TPM – Tun M

Ada keperluan bagi Anwar lantik Zahid jadi TPM – Tun M

BEKAS Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamed mempersoal lantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM), sedangkan disabit 40 pertuduhan kesalahan rasuah.

Dr Mahathir yang merupakan bekas Perdana Menteri, berkata berdasarkan peruntukan di bawah Artikel 33A menyebut “Yang di-Pertuan Agong hendaklah terhenti menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong jika dipertuduh atas suatu kesalahan”.

Bagaimanapun, beliau mempersoal peruntukan itu tidak digunapakai pada jawatan TPM.

“Jelas sekali bahawa dengan hanya didakwa dengan kesalahan sudah dianggap serius hinggakan individu seperti YDP Agong terhenti fungsi-fungsi sebagai YDP Agong.

“Ia tidak menyebut perlu didapati bersalah terdahulu maka fungsi Baginda terhenti. Dengan hanya didakwa sudah jelas bahawa perlembagaan menetapkan terhentinya fungsi Baginda.

“Sekarang bagaimana pula dengan jawatan yang lebih rendah seperti Timbalan Perdana Menteri. Dia sudah didakwa dengan 40 pertuduhan. Namun dia masih dilantik sebagai TPM dan masih menjawat jawatan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 23 September lalu, Ahmad Zahid dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam atas 40 pertuduhan rasuah berhubung kontrak Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Timbalan Perdana Menteri itu.

Ahmad Zahid didakwa di Mahkamah Sesyen atas 40 pertuduhan menerima rasuah daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung projek VLN pada Jun 2019.

Bagaimanapun, beliau masih berdepan dengan 47 pertuduhan lagi dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan kes dakwaan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan dana milik Yayasan Akalbudi.

Sementara itu, Dr Mahathir menyoal fungsi jawatan TPM sehingga Ahmad Zahid dilayan lebih tinggi berbanding Yang di-Pertuan Agong.

“Ada keperluan bagi Reformasi di sini, pada fikiran saya. Takpalah, saya akan jaga cucu sekarang. Lupakan saja perkara ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen