Ismail Sabri bangga papan tanda di Korea Selatan guna Bahasa Melayu

Ismail Sabri bangga papan tanda di Korea Selatan guna Bahasa Melayu

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan rasa bangga apabila usaha mengantarabangsakan Bahasa Melayu mula menampakkan hasil.

Beliau berkata, impian dan cita-citanya untuk melihat bahasa Kebangsaan itu tersebar luas di pentas antarabangsa menjadi kenyataan apabila papan tanda di Korea Selatan menggunakan Bahasa Melayu bagi memudahkan rujukan pelancong.

“Semestinya saya berbangga apabila Bahasa Melayu berkembang dan digunakan oleh negara asing iaitu Korea Selatan.

“Saya serta pejuang Bahasa Melayu akan terus memperjuangkan untuk mengangkat martabat Bahasa Melayu bukan sahaja dalam negara malah di peringkat antarabangsa,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Ismail Sabri turut mengambil kesempatan mengucapkan penghargaan kepada kerajaan Korea Selatan atas usaha tersebut selain menganggap ia sebagai pengiktirafan kepada Malaysia.

“Saya dan seluruh Keluarga Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Korea Selatan atas usaha ini dan menganggap ia pengiktirafan kepada Malaysia dalam memartabatkan Bahasa Melayu,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan tular beberapa gambar memaparkan papan tanda di Korea Selatan yang menggunakan Bahasa Melayu.

Perkongsian seorang pengguna Facebook, Zakaria Azizi baru-baru ini memaklumkan penggunaan Bahasa Melayu di papan tanda di Korea Selatan itu bertujuan membantu pelancong asing yang berkunjung ke negara itu. – Malaysiapost

Komen