Kemalangan bot tempur TLDM disiasat

Kemalangan bot tempur TLDM disiasat

TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden pelanggaran sebuah bot tempur dengan Kapal Diraja (KD) Laksamana Tan Pusmah semasa Hari Terbuka Armada (HTA2022), semalam.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM dalam kenyataan memaklumkan, insiden berlaku ketika sebuah bot tempur TLDM hilang kawalan dan terlanggar KD Laksamana Tan Pusmah sewaktu melaksanakan demonstrasi manuvra bagi memintas bot mencurigakan di jeti Pangkalan TLDM Lumut.

“Insiden kira-kira 11.30 pagi tersebut telah mengakibatkan badan KD Laksamana Tan Pusmah terkoyak sepanjang 2 x 1m dan bot tempur kemek di bahagian haluan.

“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan akibat insiden ini. Insiden juga tidak menjejaskan perjalanan HTA22 yang akan diteruskan mengikut atur cara telah ditetapkan,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial rakaman video memaparkan sebuah bot tempur TLDM yang bergerak laju secara tiba-tiba hilang kawalan dan merempuh bahagian badan sebuah kapal lain.

Sambutan HTA22 sedang berlangsung bermula semalam hingga esok di Pangkalan TLDM Lumut. – Malaysiapost

Komen