Kes bunuh tukang masak : Suspek guna bom buatan sendiri – Polis

Kes bunuh tukang masak : Suspek guna bom buatan sendiri – Polis

POLIS percaya suspek kejadian letupan yang menyebabkan seorang tukang masak terbunuh di Pandan Indah, Ampang Jaya, malam tadi menggunakan bom buatan sendiri.

Rumusan itu dibuat susulan penemuan objek tertentu di lokasi kejadian yang mana polis percaya ia adalah kandungan untuk menghasilkan bom. Antara bahan yang ditemui adalah peranti powerbank, serpihan pisau pemotong kertas dan bateri.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan ada lagi bahan-bahan lain yang digunakan untuk menghasilkan letupan namun ia mungkin sudah hangus semasa kejadian, memetik Berita Harian.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut penemuan bahan-bahan yang mungkin digunakan untuk menghasilkan letupan sehingga siasatan selanjutnya selesai dijalankan oleh Unit Forensik, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketika ditanya sama ada suspek berkemungkinan mempunyai kepakaran membuat bahan letupan sendiri, Mohamad Farouk tidak dapat mengesahkannya sehingga siasatan disiapkan.

“Dalam zaman yang serba moden dan berteknologi tinggi ini cara memproses bahan letupan mudah dipelajari menerusi media sosial namun kita tidak semestinya boleh mengaitkannya dengan kejadian ini.

“Malah pada masa ini pihak polis menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya, masih menyiasat pelaku utama kes ini serta motif kejadian melalui semua maklumat orang awam, saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

Dalam kejadian jam 8.55 malam tadi, tukang masak sebuah restoran berusia 28 tahun maut apabila berlaku letupan ketika memegang bungkusan yang ditinggalkan di bonet keretanya.

Mohamad Farouk berkata mangsa cedera parah pada badan dan tangan. Mangsa dikejarkan ke Hospital Ampang untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia pada 9.45 malam.

Hasil siasatan di lokasi kejadian, polis menemukan beberapa objek dan kesan letupan antaranya kesan lekukan pada kereta mangsa.

“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya sambil menambah proses bedah siasat mangsa dilakukan di Hospital Ampang jam 2.30 petang tadi. – Malaysiapost

Komen