KKM ambil sampel air kumbahan pesawat dari China.

KKM ambil sampel air kumbahan pesawat dari China.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menetapkan semua pengembara yang tiba dari luar negara termasuk China di pintu masuk antarabangsa (PMA) perlu melalui saringan demam.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, berkata langkah berkenaan adalah bagi mempertingkatkan pengesanan sebarang varian baru Covid-19.

Beliau berkata, pengembara yang dikesan demam atau bergejala atau rujukan kendiri (self declaration) akan dirujuk ke pusat kuarantin atau pihak kesihatan untuk pemeriksaan semula.

Beliau berkata, sekiranya pengembara berkenaan disyaki Covid-19, maka ujian Covid-19 akan dijalankan.

“Selain itu, survelan di PMA juga diperkukuhkan dengan pengambilan sampel air kumbahan dari pesawat yang datang dari negara China.

“Sampel air kumbahan akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) untuk ujian PCR dan seterusnya dihantar untuk penjujukan genom sekiranya dikesan positif Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Beliau berkata, langkah berkenaan adalah satu daripada usaha yang dilaksanakan KKM bagi memperkukuh kesiapsiagaan Malaysia berikutan situasi semasa dan perubahan polisi pengurusan Covid-19 di negara China.

Dr Zaliha berkata, bagi mengesan sebarang varian baharu pula, semua kes penyakit seperti influenza (ILI) dan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) yang mendapatkan perkhidmatan di fasiliti kesihatan dan mempunyai sejarah perjalanan ke China atau kontak dengan individu dari China dalam tempoh 14 hari perlu melalui ujian RTK-Ag.

Menurutnya, hasil ujian RTK-Ag Covid-19 itu seterusnya akan dihantar untuk penjujukan genom sekiranya positif Covid-19.

“KKM sentiasa memantau situasi semasa perkembangan kejadian jangkitan Covid-19 di peringkat antarabangsa, khususnya melalui sidang media terkini oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya. – Malaysiapost

Komen