Kumpulan rentan, berisiko tinggi tak perlu temu janji untuk dapatkan vaksin Covid-19

Kumpulan rentan, berisiko tinggi tak perlu temu janji untuk dapatkan vaksin Covid-19

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan menawarkan pemberian vaksin Covid-19 secara tanpa perlu membuat janji temu terlebih dahulu (walk-in) kepada kumpulan berisiko tinggi bermula 9 Januari 2023 di klinik kesihatan dan hospital kerajaan.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, berkata tawaran itu bagi menggalakkan pengambilan vaksin dalam kalangan kumpulan yang berisiko tinggi.

Beliau berkata, kumpulan berkenaan boleh mendapatkan vaksin tanpa perlu membuat janji temu dengan datang ke klinik kesihatan atau hospital KKM mengikut waktu operasi klinik.

“Kumpulan berkenaan adalah kes dengan morbiditi termasuk penyakit kronik atau warga emas berusia 60 tahun ke atas.

“Atau individu berisiko mendapat gejala teruk dan komplikasi jangkitan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Zaliha berkata, langkah berkenaan adalah antara kesiapsiagaan KKM dalam menghadapi perkembangan jangkitan Covid-19 susulan peningkatan kes yang dilaporkan di China.

Menurutnya, langkah itu bagi melindungi komuniti melalui pemberian vaksin termasuk kumpulan rentan dan berisiko tinggi.

Beliau berkata, sehingga 28 Disember lalu seramai 27,531,220 penduduk Malaysia telah mendapat vaksinasi dos Premier yang lengkap, namun hanya 16,278,036 orang sahaja menerima dos penggalak pertama dan 626,896 orang menerima dos penggalak kedua.

“Perlindungan diberikan vaksin Covid-19 ini akan berkurangan selepas tempoh masa tertentu dan bergantung kepada jenis varian pada masa tersebut.

“KKM sangat menggalakkan khususnya mereka yang berisiko tinggi untuk mendapatkan vaksinasi bagi mengurangkan kebarangkalian mendapat jangkitan serius dan kematian,” katanya.

Beliau berkata, bagi mereka yang belum mendapatkan dos premier atau doa penggalak, boleh membuat janji temu melalui aplikasi MySejahtera atau menghubungi klinik kesihatan berhampiran.

Sementara itu, Dr Zaliha berkata pengisytiharan Malaysia sebagai “Kawasan Tempatan Jangkitan” yang akan tamat esok telah dilanjutkan sehingga 30 Jun 2023 bagi memudahcara KKM menjalankan aktiviti pencegahan dan pengawalan penularan jangkitan Covid-19.

“Pelanjutan ini telah diwartakan pada 27 Disember lalu melalui perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelanjutan Kuat Kuasa) (No 2) 2022,” katanya. – Malaysiapost

Komen